PROSES PEMBENTUKAN IMBUHAN BER... DAN BER...KAN
Sembang kali ini, kita akan membincangkan kekeliruan dalam aspek tatabahasa. Kedua-dua imbuhan yang dibincangkan kerap menimbulkan kekeliruan kepada pelajar. Soalan-soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan juga didapati kerap memerangkap pelajar kerana bantuknya yang hampir sama. Selain itu, kekeliruan juga timbul sebagai kesan daripada kebiasaan penggunaannya dalam perbualan seharian.
Dalam pembentukan imbuhan ‘ber...’ dan ‘ber...kan’ sering terdapat kekeliruan dari segi pembentukan ayatnya. Kesalahan yang kerap dilakukan ialah menyamakan pembentukan ayat bagi kedua-dua imbuhan ini.
Teliti ayat berkenaan yang salah dari segi pembentukannya.
Kesalahan Ayat Contoh:
1. Mereka mengembara di dalam hutan itu berdasar peta yang dibekalkan oleh pihak penganjur.
2. Mereka mengembara di dalam hutan itu berdasarkan pada peta yang dibekalkan oleh pihak penganjur.
Kedua-dua ayat di atas mengandungi kesalahan dari segi proses pembentukannya. Dalam ayat (1) selepas kata ‘berdasar’ harus diikuti oleh kata sendi yang menghubungkan kata kerja berimbuhan ‘ber...’ dengan keterangan iaitu kata nama ‘peta’. Ini bertepatan dengan hukum pembentukan frasa kerja intransitif yang memerlukan kata sendi selepas kata kerja. Dalam ayat (2) yang digolongkan sebagai frasa kerja intransitif berpelengkap, selepas kata ‘berdasarkan’ harus diikuti oleh pelengkap kata nama. Selepas kata kerja ‘berdasarkan’ tidak boleh diikuti oleh kata sendi.
A. Imbuhan “Ber...”
Imbuhan ‘Ber...’ tergolong dalam imbuhan yang membentuk kata kerja aktif intransitif yang tidak berpelengkap kata nama. Kata kerja intransitif seperti ini boleh berdiri sendiri tetapi boleh diperluas dengan menambahkan keterangan. Pada dasarnya kata kerja berimbuhan ‘ber..’ boleh menerima semua golongan kata. Namun ada juga kata kerja berimbuhan ‘ber...’ yang menerima pelengkap kata nama ataupun kata adjektif. Lihat perbandingan imbuhan ‘ber...’ yang tidak berpelengkap dan berpelengkap.
Ayat Contoh;
1 Mereka sedang berjalan
2 Mereka sedang berjalan di tepi pantai
3 Datuknya yang sakit beransur sembuh
4 Dia sentiasa berbuat baik sesama manusia
Analisis Ayat:
Ayat (1) tidak memerlukan pelengkap kata nama kerana boleh berdiri sendiri tetapi boleh diperluas dengan menambahkan keterangan sebagaimana ayat (2). Ayat (3) pula perlu menerima pelengkap yang terdiri daripada kata adjektif iaitu ‘sembuh’. Tanpa pelengkap ‘sembuh’, ayat (3) akan membentuk ayat tergantung. Hal yang sama dilihat pada ayat (4) perkataan ‘berbuat’ harus menerima pelengkap ‘baik’ untuk membentuk maksud ayat yang sempurna.
Kata kerja berimbuhan ‘ber...’ yang diperluas dengan keterangan perlu didahului oleh kata sendi ataupun kata hubung untuk membentuk struktur ayat yang sempurna. Tanpa kata sendi nama ataupun kata hubung, ayat-ayat yang dibina tidak sempurna. Teliti contoh ayat berikut;
Ayat Contoh:
1. Zulkifli menulis buku biografinya berdasar pada pengalamannya sebagai guru.
2. Muslimin tidak mahu bertanya kepada gurunya walaupun tidak faham akan cerita itu.
• Perkataan berimbuhan awalan ‘ber...’ juga membentuk ayat pasif apabila subjek ayat merupakan benda yang kena oleh perbuatan. Ayat-ayat pasif berawalan ‘ber...’ tidak menyatakan pelaku perbuatan. Teliti contoh ayat berikut;
Ayat Pasif Berawalan ‘ber...’ Contoh
1. Baju-baju itu belum berbasuh sejak semalam.
2. Pintu pagar rumahnya tidak pernah bertutup.
Analisis Ayat:
Dalam ayat (1) baju merupakan benda yang belum kena basuh, ayat (2) pintu pagar rumah merupakan benda yang tidak kena tutup. Ayat-ayat berikut juga tidak boleh menerima pelaku kerana ayat pasif berimbuhan ‘ber....’ tidak menerima pelaku kerana sifat ayat pasif tidak mementingkan pelaku kata kerja (Sebab itu dalam ayat pasif, pelaku diletakkan sebagai predikat ayat)
Kesalahan Contoh:
1. Baju-baju itu belum berbasuh oleh Aminah sejak semalam.
2. Pintu pagar rumahnya tidak pernah bertutup oleh orang tua itu.
• Ayat tersebut perlu menggugurkan pelakunya atau digantikan dengan bentuk ayat pasif pelaku kata ganti nama diri ketiga seperti berikut.
Ayat contoh sepatutnya;
1. Baju-baju itu belum dibasuh oleh Aminah sejak semalam.
2. Pintu pagar rumahnya tidak pernah ditutup oleh orang tua itu.
B. Imbuhan “Ber...kan”
Imbuhan ‘Ber...kan’ merupakan kata kerja intransitif yang berpelengkap kata nama. Namun perkara ini harus dibezakan dengan pembentukan frasa kerja transitif berpelengkap kerana kata kerja berimbuhan ‘ber...kan’ berpelengkap kata nama ini tidak boleh dipasifkan sebagaimana frasa kerja transitif berpelengkap kata nama. Tanpa pelengkap kata nama, ayat-ayat yang dibina menjadi ayat tergantung.
Imbuhan ‘ber...kan’ juga menunjukkan maksud mempunyai ataupun menggunakan sesuatu sebagai alat atau bahan perbuatan intransitif. Misalnya ‘berbantalkan lengan’ bermaksud menggunakan lengan sebagai bantal. Manakala frasa ‘berbuahkan emas’ pula bermaksud mempunyai ‘emas’ sebagai buah.
Lihat kesalahan contoh;
1. Mereka hanya bertilamkan semasa menyertai perkhemahan itu.
2. Dia tidur berbantalkan.
Semua contoh ayat di atas tidak sempurna maksudnya kerana tiada pelengkap kata nama yang menuruti kata kerja. Ayat-ayat di atas juga tidak boleh dipasifkan walaupun menerima pelengkap kata nama.
Ayat Sepatutnya;
1. Mereka hanya bertilamkan rumput semasa menyertai perkhemahan itu.
2. Dia tidur berbantalkan lengan.
Analisis ayat:
1. Mereka menggunakan rumput sebagai tilam.
2. Dia menggunakan lengan sebagai bantal.
PROSES PEMBENTUKAN IMBUHAN meN..., meN...kan, meN...i
Pembentukan imbuhan kerap kali mengelirukan pelajar. Dalam penggunaan imbuhan MeN...kan dan MeN...i, pelajar sering kali membuat kesilapan dengan menggunakan imbuhan tersebut secara bertukar ganti seolah-solah kedua-dua imbuhan tersebut membawa maksud yang sama. Dalam bab ini, kita akan melihat dan meneliti secara lebih mendalam pembentukan dan perbezaan imbuhan MeN...kan dan MeN...i dalam Bahasa Melayu yang kerap menimbulkan kekeliruan kepada pelajar.
Pembentukan Imbuhan MeN...kan
Imbuhan MeN...kan membentuk kata kerja transitif yang terbit daripada kata dasar yang terdiri daripada beberapa jenis golongan kelas kata. Penggunaan golongan kata tertentu akan menunjukkan makna yang tertentu apabila menerima imbuhan MeN...kan.
Pembentukannya akan dibincangkan secara ringkas kerana yang penting ialah meneliti perbezaan maknanya dengan imbuhan MeN...i. Teliti beberapa jenis golongan kata berikut yang menunjukkan beberapa maksud yang berbeza:
Kata Dasar Imbuhan MeN...kan Maksud
Buku (kata nama) Membukukan Menjadikan buku
Darat (kata nama) Mendaratkan Membawa ke darat
Gemuk (kata adjektif) Menggemukkan Menjadikan gemuk
Jatuh (kata kerja) Menjatuhkan Menyebabkan jatuh
Beli (kata kerja) Membelikan Membeli untuk
Tindih (kata kerja) Menindihkan Menggunakan alat
Pagar (kata kerja) Memagarkan Menjadikan sebagai
Dua (kata bilangan) Menduakan Menjadikan dua
Untuk memahami lebih jelas lagi maksud yang terbentuk daripada kelas kata tersebut lihat beberapa contoh ayat berikut:
Ayat Contoh;
1. Pemain pertahanan pasukan itu telah menjatuhkan penyerang pasukan lawan dalam kawasan penalti.
2. Lelaki itu telah menduakan isterinya dengan berkahwin lagi.
3. Dia telah membukukan pengalamannya semasa zaman pemerintahan Jepun.
4. Mereka telah membasahkan kepala masing-masing dengan air sungai itu.
5. Ahmad melontarkan basikal adiknya ke dalam kolam.
Analisis
Semua ayat yang menerima imbuhan MeN...kan menunjukkan maksud bahawa objek tepatnya (kata nama selepas kata kerja) kena secara langsung oleh perbuatan iaitu kena ‘jatuhkan’, kena ‘duakan’, kena ‘bukukan’ kena ‘basahkan’ dan kena ‘lontarkan’.
Maksud Dalam Imbuhan MeN...kan
Secara umum, imbuhan apitan MeN...kan menunjukkan dua maksud yang kerap dikelirukan.
i) Maksud sesuatu perbuatan itu dilakukan secara langsung kena ke atas objek tepat dalam ayat dan menjadi alat atau bahan untuk melakukan perbuatan ke atas objek sipi
Contoh:
Amin melontarkan sepotong kayu ke arah lembu itu.
(objek tepat) (objek sipi)
Dalam konteks ayat di atas Amin menggunakan ‘sepotong kayu’ (objek tepat) untuk melakukan perbuatan ke atas ‘lembu itu’ (objek sipi).
Teliti contoh ayat berikut yang sama maksud pembentukannya dengan ayat di atas.
Ayat contoh;
1. Petani itu memagarkan kawat berduri ke seluruh ladangnya.
2. Orang tua itu memukulkan sebatang tongkat ke atas anaknya.
3. Dia menghadiahkan rantai mutiara kepada isterinya.
4. Kanak-kanak itu membalingkan bola kepada rakannya.
5. Sultan Selangor telah berkenan mengurniakan bintang kebesaran kepada ahli sukan tersebut sempena Hari Keputeraan baginda.
ii) Maksud sesuatu perbuatan dilakukan ‘untuk’ objek tepat
Hal ini bermaksud sesuatu perbuatan itu dilakukan untuk orang lain iaitu pelaku melakukan perbuatan untuk objek tepat manakala objek sipi merupakan sesuatu yang dilakukan perbuatan ke atasnya.
Contoh:
Amin membacakan adiknya buku cerita itu.
(objek tepat) (objek sipi)
Dalam konteks ayat di atas bermaksud Amin membaca buku untuk adiknya bukan untuk dirinya, manakala buku iaitu objek sipi merupakan alat yang dibaca dan adiknya sebagai objek tepat merupakan penerima perbuatan Amin.
Jika buku cerita mahu dijadikan objek tepat, maka akhiran ‘kan’ mesti digugurkan seperti dalam ayat berikut:
Contoh:
Amin membaca buku cerita itu untuk adiknya.
(objek tepat) (objek sipi)
Untuk lebih jelas, teliti ayat-ayat berikut:
Ayat contoh;
1. Ibu menjahitkan kakak sehelai baju kurung sutera.
(maksud menjahit untuk kakak)
2. Rahim mencarikan isterinya buah mempelam muda
(maksud mencari buah mempelam muda untuk isterinya)
3. Dia melukiskan adiknya sekeping gambar helang.
(maksud melukis gambar helang untuk adik)
Ringkasnya imbuhan MeN...kan menunjukkan maksud objek tepat sebagai alat atau bahan untuk melakukan perbuatan ke atas sesuatu. Selain itu, juga membawa maksud sesuatu perbuatan itu dilakukan untuk benda lain iaitu ‘untuk objek tepat’, manakala perbuatannya dilakukan ke atas ‘objek sipi.
Pembentukan Imbuhan MeN...i.
Imbuhan MeN...i juga terbentuk daripada beberapa kelas kata dasar dan membawa makna yang tertentu. Teliti pembentukannya secara ringkas dan cuba buat perbandingan dengan pembentukan imbuhan MeN...kan.
Kata Dasar Imbuhan MeN...i Maksud
Pagar Memagari Meletakkan sesuatu
(kata Nama) sebagai pagar
Pukul Memukuli Melakukan perbuatan
(kata kerja) berkali-kali pada objek
Duduk Menduduki Melakukan perbuatan
(kata kerja) pada objek
Kirim Mengirimi Menyebabkan objek
(kata kerja) menerima sesuatu
Untuk memahami lebih jelas lagi maksud yang terbentuk daripada kelas kata tersebut lihat beberapa contoh ayat berikut:
Ayat contoh;
1. Dia akan mengirimi bapanya sepucuk surat pada setiap bulan.
2. Jepun telah menduduki Tanah Melayu selama lebih kurang empat tahun.
3. Dia memukuli lembu yang memasuki kebunnya dengan sebatang kayu.
Analisis
Dalam ketiga-tiga ayat di atas, semua objek kena secara tidak langsung. Objek-objek tersebut menerima sesuatu daripada perbuatan yang dilakukan oleh pelaku. Contohnya dalam ayat (1) ‘bapa’ sebagai objek tepat menerima surat bukannya benda yang dikirimkan kepada seseorang.
Maksud Imbuhan MeN...i
Secara umum, imbuhan apitan MeN...i, menunjukkan maksud objek tepat menerima sesuatu daripada pelaku perbuatan, manakala benda yang diterima daripada perbuatan itu dinyatakan sebagai objek sipi.
Maksud ayat juga menunjukkan bahawa objek tepat tidak bergerak tetapi objek sipi yang bergerak menuju ke arah objek tepat. Lihat dan teliti contoh ayat-ayat di bawah;
Ayat contoh;
1. Petani itu memagari ladangnya dengan kawat berduri.
2. Orang tua itu memukuli anaknya dengan sebatang tongkat.
3. Dia menghadiahi isterinya seutas rantai mutiara.
4. Kanak-kanak membalingi rakannya dengan sebiji bola.
5. Sultan Selangor telah berkenan mengurniai ahli sukan itu bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan baginda.
Bandingkan ketiga-tiga ayat yang menerima apitan MeN...i dengan ayat-ayat yang menerima apitan MeN...kan seperti yang dibincangkan terdahulu.
Adakalanya apitan MeN...i menunjukkan maksud perbuatan yang berulang-ulang dilakukan ke atas objek tepat. Teliti ayat (2) yang menunjukkan maksud anaknya menerima pukulan berulang kali. Dalam konteks ayat (1), (3), (4) dan (5) ladangnya menerima kawat berduri, isterinya menerima rantai mutiara, rakannya menerima balingan dan ahli sukan menerima kurniaan.
Perbezaan Makna Dalam Imbuhan MeN...kan dan
Imbuhan MeN...i
Sekiranya pelajar meneliti pembentukan kedua-dua imbuhan tersebut, pelajar akan mendapati terdapat perbezaan yang ketara di antara kedua-dua imbuhan itu.
Perbezaan yang paling ketara ialah apabila kedua-dua imbuhan apitan ini menggunakan kata dasar yang sama dan menerima dua objek iaitu objek tepat dan objek sipi. Lihat contoh ayat berikut untuk pemahaman yang lebih jelas.
Ayat contoh;
1. Amin melontarkan sepotong kayu ke arah lembu itu.
(objek tepat) (objek sipi)
2. Amin melontari lembu itu dengan sepotong kayu.
(objek tepat) (objek sipi)
3. Amin membacakan adiknya buku cerita itu.
(objek tepat) (objek sipi)
4. Amin membaca buku cerita itu untuk adiknya.
(objek tepat) (objek sipi)
Ulasan ringkas:
Ayat (1) dan (2) menggunakan kata dasar yang sama iaitu lontar (kata kerja) tetapi menggunakan apitan yang berbeza. Oleh itu pembentukan objek dan maknanya juga berbeza. Perkataan ‘melontarkan’ menunjukkan maksud ‘sepotong kayu’ sebagai objek tepat menjadi alat atau bahan yang digunakan untuk melakukan perbuatan. Manakala perkataan ‘melontari’ menunjukkan maksud ‘lembu itu’ sebagai objek, menjadi penerima perbuatan ‘melontari’. Oleh itu jika ayat (1) menerima apitan MeN...kan, maksudnya menunjukkan lembu itu menjadi alat atau bahan untuk perbuatan melontar, ini pasti mustahil kerana tidak mungkin Amin mampu mengangkat lembu itu dan melontarkannya.
Rumusan
Kekeliruan yang kerap berlaku di kalangan pelajar dari segi pembentukan kedua-dua apitan tersebut disebabkan para pelajar kurang memahami maksud perkataan yang digunakan dan kekeliruan membezakan objek tepat dan objek sipi. Oleh itu, para pelajar perlu meneliti imbuhan apitan MeN...kan dan MeN...i dengan meneliti kesesuaian maksud ayat dengan penggunaan objek tepat dan objek sipi yang dinyatakan dalam ayat.
Para pelajar juga perlu meneliti logik ayat dari segi maksud sama ada sesuai atau tidak.
BENTUK JAMAK
Bentuk Jamak tergolong dalam Frasa Nama. Kesalahan-kesalahan yang terbentuk kebiasaannya merupakan bentuk kesalahan dari segi frasa. Kesalahan yang berlaku juga kurang disedari oleh kebanyakan pelajar kerana maksud ayat masih tidak terjejas dan masih tepat. Namun dari segi pembentukan Frasa Nama terdapat kesalahan kerana pembentukan dan penggunaan kata nama jamak yang tidak tepat.
Pembentukan kata nama jamak boleh berlaku dalam dua cara iaitu;
i. Pengulangan kata nama .
ii. Penggunaan kata bilangan.
i. PENGULANGAN KATA NAMA
Bentuk jamak seumpama ini dapat dibentuk dengan mengulangi kata nama yang digunakan dalam ayat untuk menunjukkan bilangan yang lebih daripada satu ataupun untuk menunjukkan jamak.
Contohnya:
Kata nama Bentuk Jamak
i. pekerja pekerja-pekerja
ii. meja meja-meja
iii. buku buku-buku
Namun perlu juga diingat bahawa terdapat kata nama yang diulangi tidak menunjukkan bentuk jamak sebaliknya hanya membentuk kata ganda yang menunjukkan kata nama sahaja.
Contoh Kata Nama yang diulangi tetapi tidak menunjukkan Bentuk Jamak seperti berikut :
- rama-rama - kura-kura
- gula-gula - biri-biri
- kanak-kanak - jentik-jentik
Bentuk kata nama di atas, jika menunjukkan maksud banyak (jamak) perlu menerima kata bilangan.
Contohnya:
- beberapa ekor rama-rama
- semua gula-gula
- tiga orang kanak-kanak
- lima ekor kura-kura
- beberapa ekor biri-biri
- semua jentik-jentik
* Dalam proses pembentukan kata nama bilangan, terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian, iaitu;
Peringatan 1
Terdapat sesetengah kata nama yang memang mendukung makna jamak (lebih daripada satu) dan tidak boleh digandakan.
Kesalahan Contoh: Bentuk sepatutnya
- Penduduk-penduduk - Penduduk
- Mereka-mereka - Mereka
- Umat-umat - Umat
- Rakyat-rakyat - Rakyat
Peringatan 2
a) Kata Nama yang telah diulangi (digandakan dan menunjukkan maksud jamak) tidak boleh menerima kata bilangan kerana pembentukan yang sedemikian membentuk kesalahan Frasa Nama
Kesalahan Contoh:
i. Lima orang askar-askar
ii. Semua bahan-bahan
iii. Beberapa helai kertas-kertas
Frasa Sepatutnya :
i. Lima orang askar
ii. Semua bahan
iii. Beberapa helai kertas
Ulasan::
Kata nama yang telah menerima kata bilangan tidak perlu digandakan lagi kerana frasa yang menerima kata bilangan telah sedia asal menunjukkan bilangan dan kata nama yang digandakan juga menunjukkan bilangan.
b) Setiap Kata Nama yang telah diulang (digandakan) juga tidak boleh menerima perulangan pada kata adjektif yang merujuk kepada kata nama tersebut. Salah satu antara Kata Nama dan Kata Adjektif perlu digugurkan perulangannya. Hal ini disebabkan kata nama yang diulang dan kata adjektif yang diulang telah menunjukkan bentuk jamak.
Kesalahan Contoh :
i. Baju-bajunya mahal-mahal belaka.
ii. Pelajar-pelajar sekolah itu pandai-pandai belaka.
iii. Rumah-rumah di situ cantik-cantik belaka.
Frasa Sepatutnya :
i. Baju-bajunya mahal belaka.
ii. Pelajar-pelajar sekolah itu pandai belaka.
iii. Rumah-rumah di situ cantik belaka.
Ataupun
i. Bajunya mahal-mahal belaka.
ii. Pelajar sekolah itu pandai-pandai belaka.
iii. Rumah di situ cantik-cantik belaka.
Ulasan:
Penggandaan pada kedua-dua kata nama dan kata adjektif tidak perlu kerana maksud kedua-duanya jika digandakan akan menunjukkan bilangan.
2. PENGGUNAAN KATA BILANGAN
Pembentukan kata nama jamak bentuk ini menggunakan perkataan yang menunjukkan jumlah sesuatu kata nama untuk membentuk frasa nama. Bentuk jamak sebegini terbahagi kepada enam jenis iaitu:
i. Kata Bilangan Tentu
Bentuk Jamak ini menggunakan angka atau jumlah tertentu untuk menunjukkan bilangan.
Contohnya:
- dua / tiga / lapan
- sepuluh
- seratus
- lima ribu dan sebagainya.
Pembentukan kata jamak seperti ini memerlukan penjodoh bilangan pada kata nama untuk mengelakkkan kesalahan frasa..
Kesalahan Contoh:
i. Dua pelajar sedang bermain..
ii. Lima ribu askar terbunuh dalam peperangan itu.
iii. Lima rumah telah terbakar dalam kejadian itu.
Ayat Sepatutnya:
i. Dua orang pelajar sedang bermain.
ii. Lima ribu orang askar terbunuh dalam peperangan itu.
iii. Lima buah rumah telah terbakar dalam kejadian itu.
ii. Kata Bilangan Tak Tentu.
Bentuk Jamak ini tidak menentukan jumlah yang hendak dinyatakan secara tetap. Jumlah yang dinyatakan adalah umum, namun masih menunjukkan jumlah sesuatu kata nama kerana digunakan bersama kata nama untuk membentuk frasa nama.
Contohnya :
- Para
- Segelintir
- Sekalian
- Segenap
- Sebilangan
- Semua
- Segala
- Seluruh
- Beberapa
- Pelbagai
- Berbagai-bagai
* Kecuali kata bilangan “beberapa” kata bilangan tak tentu yang lain tidak boleh menerima penjodoh bilangan yang akan membentuk kesalahan frasa dan mengubah makna ayat.
* Kata bilangan ‘para’ pula tidak boleh digandakan kerana akan membentuk maksud ‘rak’ jika digandakan.
Kesalahan Contoh :
i. Semua ekor burung itu telah mati.
ii. Seluruh buah kampung itu telah dilanda banjir.
iii. Para orang pemuda diminta menyumbang tenaga kepada negara.
iv. Para-para pelajar akan didenda jika melakukan kesalahan.
Ayat Sepatutnya:
i. Semua burung itu telah mati.
ii. Seluruh kampung itu telah dilanda banjir.
iii. Para pemuda diminta menyumbang tenaga kepada negara.
iv. Para pelajar akan didenda jika melakukan kesalahan.
iii. Kata Bilangan Pisahan
Kata bilangan ini perlu digandakan ataupun menerima ‘se’ pada kata ‘tiap’. Kesalahan pembentukan akan membentuk kesalahan penggunaan kata nama.
Kesalahan Contoh:
i. Tiap pelajar perlu berdisiplin.
ii. Mereka menggunakan peralatan masing.
Ayat Sepatutnya:
i. Tiap-tiap pelajar perlu berdisiplin.
ii. Mereka menggunakan perlatan masing-masing.
Ulasan:
Kata bilangan tiap-tiap dan masing-masing tidak boleh disingkatkan sewenang-wenangnya menjadi tiap atau masing kerana maksud yang dibentuk akan menunjukkan maksud yang tidak tepat.
iv. Kata Bilangan Himpunan
Bentuk jamak ini menggunakan imbuhan ‘ber’ dan ‘se’ dan perkataan yang menunjukkan bilangan tersebut digandakan .
Contohnya:
- berbagai-bagai
- berjenis-jenis
- berpuluh-puluh
- kedua-dua
- bermacam-macam
- setengah-setengah
- sesetengah
Bentuk jamak ini perlu digandakan untuk mengelakkan pembentukan kesalahan kata.
Kesalahan Contoh:
i. Berbagai barang diijual di kedai itu.
ii. Berpuluh orang pemuda ditangkap dalam operasi itu.
iii. Setengah pelajar gemar ponteng sekolah tanpa sebab.
iv. Berpuluh pelajar sedang berbaris di padang.
v. Beribu manusia membanjiri stadium itu.
Ayat Sepatutnya:
i. Berbagai-bagai barang ….
ii. Berpuluh-puluh orang pemuda ….
iii. Setengah-setengah pelajar …. (atau) Sesetengah pelajar .......
iv. Berpuluh-puluh ….. (atau) Puluhan .......
v. Beribu-ribu….. (atau) Ribuan ......
v. Kata Bilangan Pecahan
Bentuk jamak ini menunjukkan pecahan daripada bahagian yang besar.
Contohnya:
- Suku
- Satu perempat
- Setengah
- Dua pertiga dan sebagainya.
Pembentukannya dan susunan bagi kata bilangan suku dan setengah juga perlu betul dan tepat dan tidak boleh disusun sewenang-wenangnya.
Kesalahan Contoh:
i. Kami telah menanti Ahmad sejak tiga suku jam yang lalu.
ii. Barang-barang itu berharga hanya tujuh setengah ringgit sahaja.
Ayat Sepatutnya:
i. …… tiga jam suku …..
ii. …… tujuh ringgit setengah …..
vi. Kata Bilangan Tingkat
Bentuk jamak ini menunjukkan kedudukan sesuatu kata nama yang digunakan bersama dengan kata bilangan tersebut.
Contohnya:
- kedua
- ketiga
- pertama
- keseratus dan seterusnya.
Ayat Contoh:
i. Dia mendapat tempat pertama dalam pertandingan itu.
ii. Aminah memperoleh tempat kelima dalam peperiksaan di kelasnya.
Kata bilangan ini jarang membentuk kesalahan dan pembentukan bentuk jamak kerana fungsinya yang membentuk tingkat kedudukan sesuatu kata nama.
Rumusan
Dalam menganalisis pembentukan kata nama bilangan, kita perlu berhati-hati bukan sahaja daripada aspek pembentukannya, malahan juga dari aspek makna. Jangan sesekali menganggap bentuk yang biasa digunakan dalam lisan sebagai betul, maka dari segi hukum tatabahasa juga betul.
No comments:
Post a Comment