Showing posts with label BAHAN PEMBELAJARAN. Show all posts
Showing posts with label BAHAN PEMBELAJARAN. Show all posts

Tuesday, August 31, 2010

BUGAR BAHASA (7)

TANPA PRASANGKA ... (Without Prejudice)
Keputusan telah dibuat. Kenyataan telah diumumkan.
Sesuai dengan tajuk yang dipilih, ruangan ini tidak akan membincangkan implikasi keputusan yang diambil oleh kerajaan berkaitan pelaksanaan PPSMI. Fokus perbincangan kali ini ialah keterangan tajuk utama yang terdapat pada petikan akhbar yang dipaparkan iaitu "Tingkat pengajaran bahasa Melayu tanpa ketepi pengajaran bahasa Inggeris."

Ada tiga isu tatabahasa menarik yang hendak dibincangkan. Yang pertama: 'Tingkat pengajaran bahasa Melayu.' Tingkat merujuk kepada tahap atau peringkat. Sekali imbas, frasa ini merupakan subjek yang perlu diikuti dengan predikat untuk melengkapkan maksudnya. Frasa tersebut akan menjadi lebih bermakna sekiranya diikuti unsur predikat seperti "... akan dimantapkan." Tanpa unsur predikat ungkapan tersebut tidak akan lengkap.

Isu yang kedua ialah '.. tanpa ketepi pengajaran bahasa Inggeris." Kata 'ketepi' dalam ungkapan ini ialah frasa sendi nama, sama seperti di sana, ke utara, di hadapan, dan sebagainya. Dari segi penulisan, sebagai frasa sendi nama, kata sendi 'ke' perlu dijarakkan dengan kata arah 'tepi'

Kedua-dua perkataan ini akan lebih tepat penggunaan dan maskudnya sekiranya ditambah dengan akhiran ...kan. Sekiranya hal ini dilakukan, maka keterangan tajuk utama itu akan menjadi "Tingkatkan pengajaran bahasa Melayu tanpa ketepikan pengajaran bahasa Inggeris." Ungkapan ini lebih tepat dari segi binaannya dan dari segi maksudnya iaitu seruan supaya pengajaran bahasa Melayu ditingkatkan tanpa meminggirkan bahasa Inggeris.

Isu yang ketiga ialah mengapakah b' pada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ditulis dengan huruf kecil, bukan huruf besar sedangkan kedua-duanya merujuk kepada mata pelajaran yang diajarkan di sekolah. Oleh sebab Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris merupakan mata pelajaran sama seperti mata pelajaran Matematik, Pendidikan Islam, dan lain-lain, sewajarnya 'b' pada kedua-dua perkataan dieja dengan huruf besar kerana kedua-duanya ialah kata nama khas. Sekiranya perkataan 'bahasa' merujuk kepada sesuatu yang umum, bukan kata nama khas pada situasi seperti itu maka 'b' huruf kecil digunakan.

Berdasarkan huraian yang telah dikemukakan, keterangan tajuk itu lebih tepat sekiranya ditulis : "Tingkatkan pengajaran Bahasa Melayu tanpa ketepikan pengajaran Bahasa Inggeris."

Hukum P-T-K-S
Kuala Pilah, Tampin, Kuala Klawang, dan Seremban ialah antara bandar utama di Negeri Sembilan. Sebutan yang lebih biasa dalam kalangan penduduk setempat untuk Kuala Pilah ialah Pilah, manakala Kuala Klawang disebut sebagai Klawang. Setiap bandar mempunyai keunikannya dan daya tarikan pelancongan yang tersendiri. Walau bagaimanapun, rencana kali ini tidak akan menghuraikan keistimewaan keempat-empat bandar ini, justeru ruang yang terbatas. Namun demikian, penulis ingin memetik huruf-huruf pertama bagi nama Pilah, Tampin, Klawang dan Seremban, iaitu P.T.K.S. dalam konteks ejaan rumi bahasa Melayu.

Dalam sistem ejaan rumi bahasa Melayu terdapat satu peraturan mengeja perkataan yang dinamakan sebagi Hukum p-t-k-s. Bagi memudahkan kita mengingat peraturannya, penulis lebih gemar menamakannya sebagai Hukum Pilah-Tampin-Klawang-Seremban, justeru cara ini lebih mudah dan senang difahami.

Menurut Hukum p-t-k-s. atau Hukum Pilah-Tampin-Klawang-Seremban ini, apabila perkataan yang bermula dengan huruf p, t, k dan s dicantumkan dengan imbuhan meN-…, (me..., men..., mem..., meng...), maka huruf p, t, k dan s akan digugurkan, Contohnya:

pakai > mem+pakai = memakai
pukul > mem+pukul = memukul
tipu > men+tipu = menipu
tolak > men+tolak = menolak
kira > meng+kira = mengira
kukus > meng+kukus = mengukus
sikat > men+sikat = menyikat
siku > men+siku = menyiku

Walau bagaimanapun, terdapat sebilangan perkataan yang bermula dengan huruf p,t,k,s ini dikekalkan ejaannya dan dikecualikan daripada peraturan Hukum p-t-k-s-ini terutamanya kata-kata pinjaman daripada bahasa Arab dan bahasa Inggeris, sebagai contoh:
terjemah >menterjemah (bukan menerjemah)
takrif >mentakrif (bukan menakrif)

Berdasarkan peraturan ini, dapatlah kita menentukan ejaan yang betul sama ada mengetengahkan atau mengketengahkan, mengetepikan atau mengketepikan, mengebumikan atau mengkebumikan.

Catatan:
Hukum p-t-k-s ini boleh diubah suai mengikut keadaan setempat supaya mudah kita mengingatnya. Sebagai contoh, jika pembaca tinggal di Pahang, p-t-k-s, boleh ditukar sebagai Pekan, Temerloh, Kuantan dan Semambu.

Penghawa Dingin atau Pendingin Hawa
Dalam cuaca yang panas sekarang, ramai yang cepat panas dan marah-marah. Sebab itu timbul ungkapan 'panas baran, panas hati, panas telinga' dan sebagainya. Orang ramai mencari pelbagai cara untuk mengelakkan kepanasan. Ada yang berkipas, ada yang berpayung, dan ramai yang mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti di luar. Walau bagaimanapun, dalam kehidupan yang dikelilingi dengan pelbagai ciptaan teknologi, kaedah yang paling mudah adalah dengan memetik suis "air conditioner." Kita tidak mempertikaikan, udara daripada "air conditioner" ini sejuk, tetapi kita sering mempertikaikan yang manakah frasa yang betul, "penghawa dingin" atau "pendingin hawa?"

Ramai yang beranggapan bahawa frasa yang betul ialah "penghawa dingin." Jika frasa ini dianggap betul, bererti 'dingin' perlu diberi 'hawa'. Kata 'dingin' atau sejuk ialah kata adjektif yang sepatutnya dikaitkan dengan sesuatu nama, contohnya; air yang dingin, sambutan yang dingin, atau hawa yang dingin. Dingin sebagai kata adjektif tidak memerlukan kata adjektif lagi. Mana mungkin wujud frasa 'dingin yang sejuk' atau 'dingin yang nyaman,' sebaliknya, hawa ada yang dingin dan ada yang panas.

Cuaca yang panas menyebabkan hawa menjadi panas. Apabila hawa menjadi panas kita berasa tidak selesa. Hawa yang panas perlu didinginkan. Untuk mendinginkan hawa kita memerlukan pendingin hawa. Oleh sebab itu, alat tersebut tidak sepatutnya disebut 'penghawa dingin' sebaliknya lebih tepat jika disebut 'pendingin hawa' kerana alat itulah menyebabkan udara menjadi dingin.

Walau bagaimanapun, dalam perkembangan mutakhir, frasa pendingin hawa boleh digantikan dengan frasa baharu yang dapat memberikan maksud yang lebih tepat dengan fungsi dan peranan alat tersebut iaitu 'penyaman udara'

Catatan:
Untuk mengelakkan kita daripada membuang masa bertelagah membincangkan frasa yang betul antara 'penghawa dingin' dengan 'pendingin hawa' sama seperti kita bertegang urat membincangkan 'pisang goreng' atau 'goreng pisang,' 'kari ayam' atau 'ayam kari' kita kenalah memahami Hukum D-M. Apa itu 'Hukum D-M?' Tunggu posting yang akan datang...

Memberi dan Memberikan Pemberian
Orang berbudi kita berbahasa,
orang memberi kita merasa.

Salah satu atur cara yang lazim pada majlis perpisahan ialah penyampaian cenderamata, (ada yang menyebutnya sebagai cenderahati – isu ini akan dibincangkan pada satu masa nanti). Tidak kira apakah cenderamata yang diberikan atau berapa nilai cenderamata itu, yang penting ialah keikhlasan.

Begitulah pengisian atur cara majlis meraikan kenaikan pangkat dan perpisahan tiga orang teman seperjuangan (yang telah bersama-sama memberikan dedekasi sepenuhnya kepada kejayaan dan kecemerlangan alma mater V3 'kudatang, kulihat, kutawan') Tahniah!

Walau bagaimanapun, artikel kali tidak akan membincangkan perjalanan majlis tersebut, tetapi persoalan tatabahasa yang sering ditanyakan oleh pelajar iaitu penggunaan kata memberi atau memberikan; sama ada memberi hadiah atau memberikan hadiah, memberi cenderamata atau memberikan cenderamata. Begitu juga dengan frasa; memberi nasihat atau memberikan nasihat.

Kita lazim mendengar atau membaca ayat-ayat yang menggunaakan kata memberi dan memberikan yang tidak tepat penggunaannya, namun seperti biasa kita selalunya bersikap tidak ambil kisah, mungkin kerana kita tidak tahu pasti sama ada ayat tersebut betul atau salah, atau kita sudah biasa menganggapnya betul (walaupun ayat itu salah).

Terdapat tiga persamaan antara memberi dan memberikan. Yang pertama, dari segi binaannya, kedua-dua perkataan iaitu memberi dan memberikan ialah kata terbitan yang berasal daripada kata dasar beri yang menerima awalan mem-... dan apitan mem-...-kan. Yang kedua, dari segi golongannya pula, kedua-duanya ialah kata kerja transitif yang mesti diikuti oleh objek yang terdiri daripada frasa nama. Yang akhir, iaitu yang ketiga, dari segi objek yang mengikutinya, kedua-duanya boleh diikuti dua objek iaitu objek tepat dan objek sipi.

Masalah yang timbul ialah yang melibatkan penggunaan kata memberi dan memberikan yang diikuti oleh dua objek. Ayat-ayat berikut sekali imbas tiada kesalahan tetapi sebenarnya salah:
a. Ketua pengawas memberi cenderamata kepada guru itu.
b. Pengarah memberi sijil penghargaan kepada pegawai syarikat itu.
c. Kakak memberikan saya buku itu.
d. Pengetua memberikan kami pujian.

Dalam ayat-ayat di atas, perkataan yang berwarna hijau iaitu perkataan yang hadir selepas kata kerja ialah objek tepat, manakala perkataan yang bercetak tebal ialah objek sipi iaitu objek yang hadir selepas objek tepat.

Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 170 membezakan maksud memberi dan memberikan. Memberi bermaksud; menyampaikan (sesuatu) kepada seseorang, manakala memberikan pula bermaksud menyerahkan sesuatu kepada.

Berdasarkan perbezaan maksud tersebut, untuk memudahkan pelajar memahami penggunaan memberi dan memberikan, dikemukakan empat kaedah yang dapat membezakannya :

1. Memberi dikuti oleh objek yang bernyawa (kata nama atau kata ganti nama diri). Ayat-ayat (a-d) di atas boleh menggunakan memberi dengan diikuti objek bernyawa sebagai objek tepat, dikuti objek tidak bernyawa sebagai objek sipi. Sebagi contoh:
a i. Ketua pengawas memberi guru itu cenderamata.
b i. Pengarah memberi pegawai syarikat itu sijil penghargaan.
c i. Kakak memberi saya buku itu.
d i. Pengetua memberi kami pujian.

2. Memberikan diikuti objek yang tidak bernyawa. Ayat-ayat (a-d) boleh menggunakan memberikan dengan diikuti objek tidak bernyawa sebagai objek tepat, diikuti kata sendi nama kepada atau untuk dan kata nama atau kata ganti nama diri sebagai objek sipi. Sebagai contoh:
a ii. Ketua pengawas memberikan cenderamata kepada guru itu.
b ii. Pengarah memberikan sijil penghargaan kepada pegawai syarikat itu.
c ii. Kakak memberika buku itu kepada saya.
d ii. Pengetua memberikan pujian kepada kami.

3. Huraian 1 dan 2 di atas, dapat dipindahkan kepada binaan yang berikut:
… memberi + [ siapa ] + [apa yang diberi]
…. memberikan +[apa yang diberi] + kepada +[siapa]

4. Imbuhan mem-... dalam memberi dan memberikan boleh ditukar dengan imbuhan di-... dan di-...-kan menjadi diberi dan diberikan dan digunakan dalam ayat pasif. Sebagaimana yang telah dibincangkan, memberi dan memberikan ialah kata kerja transitif yang mesti diikuti terus oleh objek. Hanya kata kerja transitif sahaja yang boleh dipasifkan, manakala kata kerja tak transitif tidak boleh dipasifkan.

Dalam pembentukan ayat pasif, hanya objek tepat yang terdiri daripada objek bernyawa boleh berubah kedudukan dan fungsinya iaitu menjadi subjek yang baharu dalam ayat pasif. Contohnya:
a iii. Guru itu diberi cenderamata oleh ketua pengawas .
b iii. Pegawai syarikat itu diberi sijil penghargaan oleh pengarah.
c iii. Saya diberi buku itu oleh kakak.
d iii. Kami diberi pujian oleh pengetua.

Sebaliknya, ayat-ayat yang mengedepankan objek tepat yang terdiri daripada objek yang tidak bernyawa menjadi subjek yang baharu dalam ayat pasif dianggap tidak gramatis. Sebagai contoh:
a iv. Cenderamata diberikan oleh ketua pengawas kepada guru itu
b iv. Sijil penghargaan diberikan oleh pengarah kepada pegawai syarikat itu.
c iv. Buku itu diberikan oleh kakak kepada saya
d iv. Pujian diberikan oleh pengetua kepada kami.

Catatan
Diharapkan huraian yang dikemukakan di atas dapat memberikan panduan kepada pembaca untuk menentukan penggunaan memberi dan memberikan dengan betul.

Mendokong buah dukung
Buah-buahan tempatan antaranya rambutan, manggis, dan durian kini sedang menguasai pasaran. Tidak ketinggalan juga buah langsat dan cempedak. Gerai buah-buahan tempatan segera muncul di tepi jalan. Satu lagi buah tempatan yang banyak dijual sekarang ialah buah dokong.

Kata 'dokong' dan 'dukung' hampir sama bunyinya. Jika tajuk di atas disebut mengikut ejaannya (fonetik) tajuk di atas akan membawa pengertian yang salah.

dokong

Dokong ialah sejenis tumbuhan yang buahnya seperti langsat tetapi kulitnya lebih tebal. Nama saintifik bagi dokong ialah lansium domesticu.

dukung

Dukung pula bermaksud kain penggendong atau pengambin (anak dll). Daripada kata dukung terbentuk kata terbitan; mendukung yang bermaksud 1. membawa kanak-kanak kecil sama ada ia bercelapak pada pinggang (atau di belakang) atau dengan menyokong punggung kanak-kanak itu dengan sebelah tangan dengan sebelah tangan lagi diletakkan di bawah ketiaknya, 2. menggendong, 3. memikul atau menyokong dan berusaha dsb untuk menjayakan (kiasan) 4. membantu bersama-sama, menyokong, 5. mengemukakan atau menyampaikan (maksud dan sebagainya)

Dalam penggunaan sehari-hari, kita sering mendengar penutur mengungkapkan perkataan yang berkaitan dengan 'dukung' dengan sebutan 'dokong' sebagai contoh;
a … mendokong cita-cita...
b … mendokong biawak hidup...
c … didokong oleh faktor-faktor luaran...
d … dengan dokongan daripada ibu bapa...
e … pendokong fahaman absurdisme...
f … berdokong pada ibunya...
g … selamat dalam dokongannya...

Di sebaliknya pula, tidak sedikit bilangan penutur yang mengungkapkan kata 'dokong' dengan sebutan 'dukung' sebagai contoh;
h … membeli buah dukung...
i … memetik buah dukung...

Kata 'dokong' dalam ayat-ayat (a-g) di atas sepatutnya disebut sebagai 'dukung' manakala kata 'dukung' dalam ayat (h-i) sepatutnya disebut sebagai 'dokong' Oleh itu, sebutan dan ejaan yang betul bagi ungkapan di atas ialah
a … mendukung cita-cita...
b … mendukung biawak hidup...
c … didukung oleh faktor-faktor luaran...
d … dengan dukungan daripada ibu bapa...
e … pendukung fahaman absurdisme...
f … berdukung pada ibunya...
g … selamat dalam dukungannya...
h … membeli buah dokong...
i … memetik buah dokong...

Berdasarkan huraian yang dikemukakan jelaslah bahawa sebutan dan ejaan yang betul bagi tajuk artikel ini sepatutnya ialah 'mendukung buah dokong'. Sememangnya ada orang yang terpaksa mendukung buah dokong yang telah dipetik sama ada menggunakan raga atau karung, justeru pokok dokong itu terletak di atas bukit yang tidak mungkin sebarang kenderaan boleh sampai di atas bukit itu.
Catatan:
1. Tahniah kepada Farhan Zafira kerana mengeja buah dokong dengan betul, dan kerana dapat mendukung buah dokong yang dipetik dari pokok dokong yang dipanjat.
2. Memo untuk Nur Afiqah dan rakan-rakan, pastikan tugas yang didukung dapat dilaksanakan selepas habis ujian Julai.

PEDOMAN BAHASA
Berdasarkan banyak maklum balas yang diterima, ramai pembaca (terutama pelajar menengah rendah) yang menyatakan bahawa huraian dan analisis tentang isu-isu bahasa yang penulis kemukakan lebih bersifat ilmiah dan sukar difahami oleh mereka walaupun isunya menarik. Untuk tujuan itu, penulis akan mengetengahkan isu-isu tatabahasa dan mengupasnya dengan pendekatan yang lebih mudah difahami melalui rencana bersiri di bawah tajuk 'PEDOMAN BAHASA' di samping mengekalkan konsep asal. Terima kasih diucapkan kepada pembaca yang telah menghantar ulasan dan pertanyaan. Sokongan anda amat dihargai.

PENGGUNAAN 'dari ....... ke'

Contoh kesalahan penggunaan 'dari ... ke'
1. Dari masa ke semasa bilangan mangsa H1N1 semakin meningkat. (X)
2. Dari tahun ke setahun tidak ada perubahan yang berlaku di situ. (X)

Huraian:
Penggunaan kata sendi nama dari di hadapan kata nama yang berkaitan dengan masa perlu diikuti oleh kata sendi nama ke, dan kata nama atau frasa nama yang sama bentuknya.

Bentuk frasa sendi nama yang betul untuk ayat di atas adalah seperti berikut:
1. Dari masa ke masa bilangan mangsa H1N1 semakin meningkat.
atau
Dari semasa ke semasa bilangan mangsa H1N1 semakin meningkat.

2. Dari setahun ke setahun tidak ada perubahan yang berlaku di situ.
atau
Dari tahun ke tahun tidak ada perubahan yang berlaku di situ.

Contoh lain:
dari hari ke hari atau dari sehari ke sehari
dari minggu ke minggu atau dari seminggu ke seminggu
dari bulan ke bulan atau dari sebulan ke sebulan

DALAM, DI DALAM, KE DALAM (PEDOMAN BAHASA BILANGAN 02)
Contoh kesalahan pengunaan dalam dan di dalam
1. Kenangan manis itu sentiasa terbayang di dalam fikirannya. (X)
2. Pekerja dari Bangladesh itu fasih bertutur di dalam bahasa Melayu. (X)

Huraian:
Dalam boleh berfungsi sebagai kata adjektif, kata arah, dan kata sendi nama.

Sebagai kata adjektif, dalam menunjukkan tahap atau peringkat. Lazimnya kata penguat seperti 'amat, sangat, paling' dan sebagainya boleh diletakkan sebelum atau sesudah kata dalam, sebagai contoh:
a. Pengetahuannya tentang spesies katak sangat dalam.
b. Lubang yang baru digalinya dalam sangat.

Sebagai kata arah pula, dalam digunakan sesudah kata sendi nama di atau ke yang menunjukkan kedudukan, lokasi, arah, atau hala, sebagai contoh:
a. Aiman menyimpan permainannya di dalam sebuah kotak.
b. Penjahat itu masuk ke dalam sebuah rumah yang terbiar.

Sebagai kata sendi nama pula dalam digunakan di hadapan frasa nama yang membawa maksud 'lingkungan yang tidak mempunyai jarak atau ruang' seperti perkara, peristiwa, keadaan, hal, dan sebagainya, sebagai contoh:
a. Kes itu masih dalam penyiasatan pihak polis.
b. Kertas cadangan itu hendaklah ditulis dalam bahasa Melayu.
Berdasarkan huraian di atas, jelaslah bahawa terdapat perbezaan dan cara penggunaan antara dalam, di dalam, dan ke dalam. Oleh itu, dua ayat yang salah penggunaan dalam perlu dibetulkan menjadi:
1. Kenangan manis itu sentiasa terbayang dalam fikirannya.
2. Pekerja dari Bangladesh itu fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

Menemui, Menemukan, Mempertemukan, Pertemuan, Penemuan
Sebelum membincangkan kelima-lima perkataan di atas, perhatikan ayat-ayat berikut:
1. Ibu bapa menemui guru untuk membincangkan kemajuan anak-anak mereka.
2. Pihak polis menemui kereta yang ditinggalkan oleh penjenayah itu.
3. Rancangan Jejak Kasih telah menemukan ibu dan anak yang telah lama terpisah.

Kamus Dewan Edisi Keempat memberi makna yang berlainan bagi kelima-lima perkataan di atas:

a. menemui
Maksud
1. bertemu dengan, berjumpa dengan
2. pergi bertemu dengan, mengunjungi, menziarahi, melawat

Contoh ayat:
Calon doktor itu menemui ketua jabatan untuk mendapatkan maklumat.

b. menemukan
Maksud:
1. mendapati, menjumpai, bertemu dengan apa-apa yang dicari (yang tersembunyi, belum diketahui lagi)
2. mengalami, menderita

Contoh ayat:
Pasukan keselamatan menemukan beberapa bukti yang boleh mengaitkan tertuduh dengan kes itu.

c. mempertemukan
Maksud:
membawa supaya bertemu

Contoh ayat
Festival Kesenian itu telah mempertemukan karyawan seni dari seluruh Nusantara.

d. pertemuan
Maksud:
1. perihal bertemu, perjumpaan
2. tempat bertemu
3. perkumpulan, perhimpunan

Contoh ayat:
Kuala Lumpur terletak di pertemuan Sungai Gombak dengan Sungai Kelang.

e. penemuan
Maksud:
1. perihal menemui atau menemukan
2. sesuatu yang didapati atau ditemui

Contoh ayat:
Penyelidikan yang dijalankan oleh para saintis telah membawa penemuan sejenis vaksin yang dapat melawan virus H1N1.

Berdasarkan maksud yang diberi untuk kelima-lima perkataan di atas, jelas bahawa terdapat perbezaan makna dan cara penggunaannya. Kesalahan yang lazim dilakukan ialah penggunaan kata menemui pada tempat menemukan. Sebagai contoh, penggunaan menemui dalam ayat 2 di atas (Pihak polis menemui kereta yang ditinggalkan oleh penjenayah itu) adalah salah dan membawa maksud bahawa polis bertemu dengan, mengunjungi, melawat atau menziarahi kereta. Ayat yang betul ialah; Pihak polis menemukan kereta yang ditinggalkan oleh penjenayah itu. Begitulah seterusnya, ayat yang betul bagi ayat 3 ialah; Racangan Jejak Kasih telah mempertemukan ibu dan anak yang telah lama terpisah.

Satu rumus mudah yang boleh dijadikan panduan untuk membezaka penggunaan menemui dan menemukan adalah seperti berikut:
menemui + siapa
menemukan + apa

Catatan:
Sama ada menemui, menemukan, mempertemukan, pertemuan, atau penemuan, kelima-lima perkataan ini membawa implikasi bahawa sekurang-kurangnya dua pihak atau lebih bertemu dalam sesuatu peristiwa atau proses tertentu dan ada kesan yang timbul akibat pertemuan itu. Kesan itu mungkin dari sudut perasaan, pemikiran, sikap, pandangan, persepsi, tanggapan dan sebagainya yang mungkin dapat mengubah suasana, sepertimana foto berikut:

Majlis Temu Mesra Profesional yang telah mempertemukan ibu bapa, anak dan guru

Sehubungan dengan itu ....

Floria'09 Putrajaya

Foto di atas mungkin tidak tidak ada hubungan secara langsung dengan persoalan tatabahasa yang dibincangkan pada kali ini. Foto yang dipaparkan ini hanya sebahagian daripada ratusan foto yang sempat penulis rakamkan sewaktu berkunjung ke Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria '09) di pesisiran tasik Presint 2 Putrajaya pada 1 Ogos yang lalu. Walaupun penulis bukanlah penggemar bunga yang tegar, namun kekaguman terhadap pelbagai spesies bunga, dengan pelbagai warna yang dipamerkan dan secara tidak langsung telah menukar lanskap di kawasan situ menjadi sebuah kota kembang yang berwarna-warni, menjadi pilihan kepada penulis untuk mengaitkannya bagi membincangkan ungkapan yang berikut;

sehubungan dengan hal itu,
sehubungan dengan itu,
sehubungan itu,

Antara ungkapan di atas, ungkapan yang manakah yang dianggap menepati sistem bahasa Melayu? Ketiga-tiganya seolah-olah tiada kesalahan, justeru dianggap betul semuanya. Walau bagaimanapun, ungkapan sehubungan itu dianggap tidak gramatis kerana dari segi makna, sehubungan itu bermaksud sama hubungan itu. Ungkapan ini tidak gramatis kerana tidak mempunyai kata sendi nama dengan sebagai unsur yang menentukan wujudnya perbandingan. Ungkapan yang betul ialah sama hubungan dengan itu atau sehubungan dengan itu, kerana awalan se-... membawa maksud 'sama' Kata ganti nama tunjuk itu pula berfungsi sebagai penanda kata nama yang boleh digugurkan. Oleh itu, ungkapan sehubungan dengan hal itu juga boleh digunakan.

Setengah Orang, Setengah Bukan Orang
Kata bilangan ialah kata yang digunakan untuk menghitung benda, misalnya satu, dua, dan seterusnya, beberapa, semua, dan sebagainya. Banyak kesalahan penggunaan kata bilangan yang dapat kita temukan dalam pelbagai bentuk penulisan kerana penutur atau penulis tidak memahami penggunaannya yang betul.

Kata bilangan tak tentu setengah-setengah, kata bilangan pisahan tiap-tiap, dan kata bilangan himpunan kedua-dua, dan sebagainya tidak boleh disingkatkan sewenang-wenangnya. Contoh kesalahan penggunaan kata bilangan yang disingkatkan;

Setengah orang tidak suka akan durian. (X)
Setengah-setengah orang tidak suka akan durian. (/)
Sesetengah orang tidak suka akan durian. (/)

Catatan:
Kata bilangan setengah orang membawa maksud bahawa separuh badan manusia manakala separuh badan lagi bukan manusia antaranya ialah ikan duyung seperti foto berikut.

ikan duyung (setengah orang, setengah bukan orang)

Oleh itu, para pembaca diharap lebih berhati-hati apabila menggunakan kata bilangan setengah dan diikuti dengan kata nama yang merujuk kepada manusia kerana dibimbangi akan membawa maksud sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.

Tiap pelajar harus mematuhi peraturan sekolah. (X)
Tiap-tiap pelajar harus mematuhi peraturan sekolah. (/)

Kedua orang itu rakannya. (X)
Kedua-dua orang itu rakannya. (/)

Catatan:
Kedua menunjukkan kedudukan

Berbagai rancangan diatur untuk menyambut kepulanngannya. (X)
Berbagai-bagai rancangan diatur untuk menyambut kepulangannya.(/)
Pelbagai rancangan diatur untuk menyambut kepulangannya. (/)

Catatan:
Berbagai bermaksud berbanding

Kata bilangan tak tentu para pula tidak boleh diulang menjadi para-para. Contoh kesalahan dan pembetulan yang berikut:
Para-para penerima anugerah sedang berbaris.(X)
Para penerima anugerah sedang berbaris. (/)

Catatan:
Para-para bermaksud rak tempat meletakkan barang.

Kata bilangan tentu seperti satu, dua, tiga, dan seterusnya tidak boleh didekatkan sekali gus dengan kata bilangan pecahan. Lihatlah contoh kesalahan dan pembetulan yang berikut:
Sudah tiga setengah jam dia menunggu. (X)
Sudah tiga jam suku dia menunggu. (/)

Harga pen itu tiga setengah ringgit. (X)
Harga pen itu tiga ringgit setengah. (/)

Kesimpulannya, kata bilangan perlu di gunakan dengan cara yang betul supaya tepat maksudnya dan tidak tidak membawa maksud yang lain.

Mengenali Kata Adjektif
Suria pagi memancarkan sinarnya menerangi
alam agar penghuninya sentiasa ceria

Dalam keterangan gambar di atas terdapat satu patah kata adjektif. Kata adjektif ialah perkataan yang menjadi unsur inti dalam binaan frasa adjektif. Kata adjektif dapat dikenal pasti dan dibezakan daripada kata nama atau kata kerja dengan cirinya yang boleh didahului atau diikuti oleh kata penguat, seperti; sangat, amat, paling, sungguh, kian, dan lain-lain. Kata adjektif menceritakan sifat kata nama dan kata kerja.

Kata adjektif dalam Bahasa Melayu dibahagikan kepada sembilan jenis berdasarkan kriteria makna.

Kata Adjektif Keadaan
memberi makna keadaan kata nama yang diterangkan. Contoh : buku tebal, budak pintar

Kata Adjektif Warna
membawa makna warna untuk menerangkan kata nama. Contoh : baju kuning, bibir merah.

Kata Adjektif Ukuran
menyatakan ukuran kata nama. Contoh : rumah panjang, pembaris pendek

Kata Adjektif Bentuk
menerangkan mengenai bentuk kata nama. Contoh : jalan lurus, mata bulat

Kata Adjektif Jarak
menerangkan kata nama dari segi ruang. Contoh : bilik sempit, kawan jauh.

Kata Adjektif Waktu
memberi penjelasan konsep masa sebagai unsur keterangan. Contoh : makanan segera, kereta baharu

Kata Adjektif Cara
membawa makna keadaan kelakuan atau ragam untuk menerangkan kata nama. Contoh : berjalan perlahan, hujan lebat

Kata Adjektif Perasaan.
memberi pengertian kepada konsep perasaan yang terkandung dalam sesuatu kata nama. Contoh : rindu akan, sangat benci

Kata Adjektif Pancaindera
terdiri daripada yang memberi makna rasa, pandang, dengar, bau dan sentuh. Contoh :
makanan lazat (konsep rasa)
lelaki kacak (konsep pandang)
suara merdu (konsep dengar)
minyak wangi (konsep bau)
kulit licin (konsep sentuh)

Cara mengenal pasti kata adjektif :
Kata adjektif boleh berganding dengan kata penguat seperti; amat, sungguh, kian, nian, dan paling, atau diberi imbuhan ‘ter’ dan ‘se’.sama ada diletakkan di hadapan kata adjektif atau di akhirnya.

Contoh: amat panjang, paling istimewa, sungguh riang, pantas sekali, termahal, selembut

Untuk dan bagi
Untuk dan bagi ialah kata sendi nama yang digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, dengan fungsi yang tertentu. Kata sendi untuk dan bagi boleh bervariasi atau bertukar ganti jika digunakan di hadapan frasa nama atau kata nama yang berfungsi untuk menunjukkan kegunaan sesuatu. Contohnya;

Sebuah dewan untuk kegiatan penduduk Taman Rasa Sayang sedang dalam pembinaan.
Sebuah dewan bagi kegiatan penduduk Taman Rasa Sayang sedang dalam pembinaan.

Aktiviti untuk peningkatan akademik tahun hadapan telah siap disusun.
Aktiviti bagi peningkatan akademik tahun hadapan telah siap disusun.

Peralatan itu ditempah untuk pengajaran dan pembelajaran.
Peralatan itu ditempah bagi pengajaran dan pembelajaran.

Untuk mengatasi masalah tersebut, beberapa cadangan sedang dipertimbangkan.
Bagi mengatasi masalah tersebut, beberapa cadangan sedang dipertimbangkan.

Sebaliknya, kata untuk dan bagi tidak boleh bertukar ganti apabila digunakan untuk menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan. Contohnya;

Bagi siapakah hadiah ini. (X)
Untuk siapakah hadiah ini. (/)

Hadiah ini bagimu. (X)
Hadiah ini untukmu. (/)

Jam tangan ini bagi Fahmi. (X)
Jam tangan ini untuk Fahmi. (/)

Bagi siapakah kiriman itu? (X)
Untuk siapakah kiriman itu? (/)

Berdasarkan huraian di atas jelaslah bahawa penggunaan untuk dan bagi hanya dapat dibezakan jika penggunaanya bermaksud sesuatu yang telah ditentukan atau ditetapkan untuk seseorang.

Antara dan Di antara
1. Rumah Salahuddin terletak antara dua buah kondominium di ibu kota.


2. Di antara kondominium mewah di ibu kota ialah Kondominium Atiria.

Penggunaan antara dan di antara dalam kedua-dua ayat di atas adalah salah. Kata antara dapat berfungsi sebagai kata sendi nama dan kata arah.

Sebagai kata arah, antara digunakan di belakang kata sendi nama di membentuk di antara, yang menunjukkan tempat atau kedudukan fizikal yang mempunyai jarak. Contohnya;
1. Pejabat ayahnya terletak di antara sebuah bank dan pasar raya.
2. Di antara kedua-dua buah kereta itu terdapat sebuah motosikal.

Sebagai kata sendi nama, antara hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian “lingkungan yang tidak mempunyai jarak.” Selain itu, kata antara sebagai kata sendi nama boleh digunakan dalam ayat yang menunjukkan unsur perbandingan. Dalam hal ini, kata sendi nama yang berpasangan dengan antara ialah “dengan”. Contohnya;
1. Saya tidak dapat membuat keputusan jika diminta memilih antara bulan dengan bintang.
2. Pertelingkahan antara abang dengan kakaknya tidak berpanjangan.
Kata sendi nama antara juga boleh berpasangan dengan hingga bagi menunjukkan masa atau lingkungan yang idak menunjukkan jarak. Contohnya;
1. Pertunjukan itu dibuka kepada orang ramai antara pukul 8.00 pagi hingga 10.00 malam.
2. Diskaun antara 20 peratus hingga 25 peratus ditawarkan kepada pembeli rumah yang
berminat.

Kesimpulannya, terdapat perbezaan yang jelas antara kata sendi nama antara dengan kata arah di antara, sama ada dari segi golongan kata mahupun penggunaanya. Oleh itu, sebagai pengguna bahasa yang peka kepada perbezaan tersebut, sewajarnyalah kita memastikan penggunaan kata yang tepat antara kedua-dua perkataan.

Ayat Pasif
AYAT PASIF

Definisi
Ayat pasif ialah ayat yang mengutamakan objek asal (iaitu objek dalam ayat aktif) sebagai perkara atau unsur yang diterangkan, manakala subjek asalnya tidak diutamakan. Contohnya:
i. Naib Yang Dipertua PIBG menyampaikan anugerah itu. (Ayat Aktif)
(subjek)+ (kata kerja transitif) +(objek)
ii.Anugerah itu disampaikan oleh Naib Yang Dipertua PIBG. (Ayat Pasif)
(subjek)+ (kata kerja pasif) +(pelaku)


Anugerah itu disampaikan oleh Naib Yang Dipertua PIBG .

Jenis ayat pasif
1. Ayat Pasif dengan Kata Kerja berimbuhan ’di’ dan ’ter’
Contohnya:
a). Hadiah pertandingan itu sudah dituntut oleh pemenangnya semalam.
b). Peralatan sistem suara itu tidak terangkat oleh mereka.

2. Ayat Pasif dengan Kata Kerja berimbuhan ’ber’ dan ’ke...-an’.
a). Dalam perjalanan pulang mereka kehujanan.
b). Ketika mereka tiba juadah itu sudah bertutup.
c). E-mel yang saya kirim belum berjawab lagi.

3. Ayat Pasif dengan Kata Ganti Nama Orang Pertama dan Kedua
Contoh
a). Laporan peristiwa itu sudah saya siapkan semalam.
b). Tugasan itu harus awak laksanakan dengan segera.
c). Masalah itu wajar kita hadapi bersama-sama.
Kesimpulannya, kita hendaklah dapat membezakan struktur ayat pasif dengan ayat aktif supaya kita dapat membina ayat yang gramatis dan tidak dianggap sebgai pengguna bahasa yag pasif.

Ayat komplemen
AYAT KOMPLEMEN
Dalam penggunaan bahasa sehari-hari, kita mempunyai pilihan untuk menggunakan sama ada ayat tunggal ataupun ayat majmuk. Ayat tunggal ialah ayat yang mengandungi hanya satu klausa , iaitu satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi satu subjek dan satu predikat.
Ayat majmuk pula ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan percantuman itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat yang baharu. Contohnya:
a). Aziz sedang membaca buku. (ayat tunggal)
b). Azizan sedang mengemas bilik. (ayat tunggal)
c). Aziz sedang membaca buku sementara Azizan sedang mengemas bilik. (ayat majmuk)

Ayat majmuk dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:
Ayat majmuk gabungan
Ayat majmuk pancangan
Ayat majmuk campuran

Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, dan sebagainya.

Ayat majmuk pancangan ialah binaan ayat yang terdiri daripada satu ayat utama atau ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil lain yang dipancangkan di dalam ayat induk dan menjadi sebahagian daripada ayat induk itu. Terdapat tiga jenis ayat majmuk pancangan dalam bahasa Melayu berdasarkan cara pembentukan dan jenis ayat yang dipancangkan, iaitu ayat relatif, ayat komplemen dan ayat keterangan.

Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat, yakni terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk, atau deretan berbagai-bagai jenis ayat majmuk.

Ayat komplemen
Sebagaimana yang telah dinyatakan, ayat majmuk pancangan terdiri daripada tiga jenis iaitu ayat relatif, ayat komplemen dan ayat keterangan. Ayat komplemen ialah bahagian ayat dalam binaan ayat majmuk yang melengkapkan ayat tersebut. Ayat komplemen ditandai oleh penggunaan kata hubung komplemen bahawa dan untuk.Contohnya:
a). Ketua Pengarah Kesihatan mengumumkan bahawa kematian akibat H1N1 tidak berubah.
b). Beliau menjelaskan bahawa cuti semua pegawai perubatan dibekukan.
c). Amat tidak wajar untuk mereka menyalahkan orang lain.

Bahagian yang bercetak miring dalam ayat di atas ialah ayat komplemen, iaitu yang berfungsi sebagai objek tepat kepada kata kerja transitif seperti mengumumkan dan menjelaskan, selain menjadi pelengkap kepada ayat induk atau ayat utama. Terdapat sebilangan kata kerja transitif lain yang perlu diikuti oleh ayat komplemen yang berfungsi sebagai objek supaya maksud ayat tersebut lengkap, antaranya; menafikan, menyatakan, menyebut, menegaskan, mengharapkan, menyedari, mengakui, melaporkan, mengesahkan.

Selain menjadi objek, ayat komplemen juga menjadi pelengkap kepada frasa kerja tak transitif yang lazimnya menggunakan imbuhan ber-... sebagaimana contoh berikut;
a). Mereka berpendapat bahawa masalah itu telah selesai.
b). Kami beranggapan bahawa penyelesaian itu hanya sementara.

Bahagian yang bercetak miring dalam ayat di atas ialah ayat komplemen, iaitu yang berfungsi sebagai pelengkap kepada frasa kerja tak transitif seperti berpendapat dan beranggapan. Terdapat sebilangan kata kerja tak transitif lain yang perlu diikuti oleh ayat komplemen yang berfungsi sebagai pelengkap supaya maksud ayat tersebut lengkap, antaranya; bermaksud, berpendirian, berpandangan, berfahaman, bersetuju, berharap.

Sebagai kesimpulannya, dapat dinyatakan bahawa ayat komplemen berfungsi sebagai objek dan pelengkap, berdasarkan kata kerja atau frasa kerja dalam ayat induk atau ayat utama.

Di sekitar penggunaan kata bilangan
Kata bilangan ialah perkataan yang digunakan untuk menyatakan jumlah sesuatu. Kata bilangan digunakan di hadapan frasa nama. Terdapat beberapa jenis kata bilangan, iaitu:

1. Kata bilangan tentu
Contoh: dua, dua puluh, satu ribu, satu juta

2. Kata bilangan tak tentu
Contoh: segala, semua, para, seluruh, sedikit, beberapa, banyak

3. Kata bilangan pisahan
Contoh: setiap, tiap-tiap, masing-masing

4. Kata bilangan pecahan
Contoh : suku, separuh, setengah, sepertiga

5. Kata bilangan himpunan
Contoh: beratus-ratus, berhari-hari, berminggu-minggu, berguni-guni

6. Kata bilangan tingkat (ordinal)
Contoh : pertama, ketiga, kesepuluh

Penggunaan kata bilangan
1. Kata bilangan tentu dan kata bilangan himpunan mesti diikuti penjodoh bilangan. Contoh :
Dia memiliki dua kereta (X)
Dia memiliki dua buah kereta (/)

2. Kata bilangan tak tentu tidak perlu diikuti penjodoh bilangan (kecuali kata beberapa). Contoh: Semua orang penduduk (X)
Semua penduduk (/)
Beberapa penduduk (X)
Beberapa orang penduduk (/)

3. Kata nama selepas kata bilangan tak tentu yang membawa maksud jamak tidak perlu digandakan. Contoh:
Segala persiapan-persiapan (X)
Segala persiapan (/)
Semua peserta-peserta
Semua peserta (/)

4. Kata bilangan pisahan ‘setiap’ tidak perlu dikuti penjodoh bilangan.
Penggunaan tiap hendaklah digandakan menjadi tiap-tiap atau setiap. Contoh:
Harga setiap buah kereta adalah sama (X)
Harga setiap kereta adalah sama (/)

5. Kata bilangan pecahan ‘setengah’ (yang bermaksud separuh) berbeza daripada ‘setengah setengah’ (yang bermaksud sebilangan daripada sesuatu). Contoh:
Setengah orang berpendapat rancangan itu wajar dibatalkan. (X)
Cadangan itu tidak disokong oleh setengah pihak. (X)

Setengah tidak boleh digunakan untuk manusia (setengah badan manusia, setengah lagi bukan manusia)

6. Kata bilangan ramai ialah sinonim bagi banyak. Ramai hanya digunakan untuk manusia manakala banyak boleh digunakan untuk manusia dan benda lain.

7. Berbagai bukan kata bilangan. Berbagai bermaksud tiada bandingan. Bentuk yang
betul ialah ‘berbagai-bagai’ atau ‘pelbagai’ Contoh:
Berbagai perkara dibincangkan dalam mesyuarat itu. (X)
Berbagai-bagai perkara dibincangkan dalam mesyuarat itu. (/)
atau
Pelbagai perkara dibincangkan dalam mesyuarat itu. (/)

8. Kata bilangan yang menunjukkan maksud jamak seperti para dan sekalian tidak boleh digunakan serentak. Contoh:

para hadirin sekalian (X)
hadirin sekalian (/)
semua tetamu sekalian (X)
tetamu sekalian (/)


Beraneka bunga menghiasi taman di halaman
Cerna minda
Kira bilangan kesalahan penggunaan kata bilangan dalam petikan di bawah.

Kedua ibu bapanya kini berada jauh beribu batu. Mereka terpaksa meninggalkan semua anak-anak mereka untuk menjalankan berbagai tugas di luar negara. Tiap hari mereka tidak lupa untuk menghubungi semua anak-anak mereka. Sebagai anak yang pertama, Azlan seperti kebanyakan anak-anak sulung yang lain akan mengambil alih tanggungjawab menjaga adik-adiknya.

Kata pemeri
Kesilapan Penggunaan adalah dan ialah


Kata pemeri ialah dan adalah merupakan kata tugas yang tergolong sebagai kata prafrasa. Kata pemeri ialah digunakan untuk menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala adalah menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contoh-contoh yang dapat dilihat daripada penggunaan kedua-dua kata pemeri ini adalah seperti berikut :

1). Kesilapan penggunaan kata adalah di tempat ialah
Contoh:

Anak adalah anugerah Allah. (Salah)
Anak ialah anugerah Allah. (Betul)

Pak Mat adalah orang yang pertama menerpka kawasan itu. (Salah)
Pak Mat ialah orang yang pertama meneroka kawasan itu. (Betul)

Matlamat AMAN adalah pembinaan masyarakat sejahtera. (Salah)
Matlamat AMAN ialah pembinaan masyarakat sejahtera. (Betul

2) Kesilapan penggunaan kata ialah di tempat adalah
Contoh:

Majalah ini ialah untuk kaum wanita sahaja. (Salah)
Majalah ini adalah untuk kaum wanita sahaja. (Betul)

Persembahan itu ialah baik. (Salah)
Persembahan itu adalah baik. (Betul)

3) Kesilapan penggunaan kata adalah di hadapan kata kerja.

Contoh:
Matlamat utama syarikat ini adalah membantu para golongan muda. (Salah )
Usaha yang dijalankan adalah menerbitkan risalah. (Salah )

Matlamat utama syarikat ini adalah untuk membantu para golongan muda. (Betul)
Usaha yang dijalankan adalah dengan menerbitkan risalah. (Betul)

4) Kesilapan penggunaan kata adalah pada awal ayat.
Contoh:

Adalah dengan ini diisytiharkan bahawa... (Salah )
Dengan ini dimaklumkan bahawa... (Betul )

Adalah dimaklumkan bahawa... (Salah )
Dengan ini dimaklumkan bahawa... (Betul)


5) Kesilapan penggunaan kata adalah dan kata kerja

Contoh:
Keputusan ini diambil adalah berdasarkan... (Salah)
Keputusan ini diambil berdasarkan... (Betul)

Para pelajar adalah dipelawa memohon... (Salah)
Para pelajar dipelawa memohon... (Betul)

Bangunan Blok G SMK King George V ialah bangunan sekolah
kedua yang diisytiharkan sebagai Warisan Negara
Kesimpulannya, Kata pemeri adalah hanya boleh diikuti oleh kata sendi nama dan kata adjektif yang bersifat huraian sahaja, manakala kata pemeri ialah hanya boleh diikuti oleh kata nama atau frasa nama. Sebaliknya, kata kerja atau frasa kerja tidak perlu didahului oleh kata pemeri, sama ada ialah atau adalah.

Perkataan yang hampir sama

Soalan:
Cikgu,
Bagaimanakah kita dapat menjawab soalan tentang perkataan yang hampir sama maknanya dalam Kertas 1 Bahasa Melayu PMR? Walaupun saya telah membuat latihan tersebut berulang kali, saya tetap gagal memilih jawaban yang tepat. Soalan tersebut ialah:

1.Oleh sebab dahan pokok itu banyak kerengga, abang telah ______ dahan pokok rambutan itu.
A. menutuh
B. menakik
C. memangkas
D. mencantas


Harap cikgu dapat memberikan panduan kepada saya tentang cara untuk menjawab soalan ini dengan tepat:

Drp:
Siva, SFI, Melaka

Jawaban:
Untuk menguasai soalan jenis ini, anda perlu menguasai makna bagi setiap perkataan tersebut. Caranya ialah anda mesti rajin merujuki Kamus Dewan Edisi Keempat.

Untuk menjawab soalan tersebut dengan tepat, anda mestilah mengetahui makna perkataan menutuh, menakik, memangkas dan mencantas. Oleh sebab perkataan ini hampir sama maknanya, anda mestilah dapat membezakan makna dan penggunaan perkataan tersebut dalam ayat. Sila teliti makna setiap perkataan tersebut seperti yang terdapat dalam Kamus Dewan yang dikemukakan di bawah ini:

Perkataan: menutuh
Maksud 1: memotong dahan atau cabang kayu.
Ayat: Pak Samad sedang menutuh dahan-dahan nangka di belakang rumahnya.

Maksud 2:memecahkan perahu untuk diambil kayunya.
Ayat: Maka apabila sampai di Siantan, maka mereka pun menutuh kici itu untuk dibuat penjajap perang.
Maksud 3: bk melakukan sesuatu yang umumnya kurang baik (makan suap dll).
Ayat: Mereka menutuh apa-apa sahaja yang diberikan oleh kontraktor itu bagi mencapai kepentingan peribadinya.
Maksud 4: bk memukul, menumbuk.
Ayat: Kumpulan gangster itu telah menutuh seorang budak lelaki yang enggan memberikan wang kepada mereka.

Perkataan: menakik
Maksud: 1.melukai sesuatu dengan parang, membuat takik dengan cara memarang atau menakuk.
Ayat: Mereka menakik batang pokok kelapa itu untuk dibuat tempat pemijak.
Maksud 2: menoreh kulit kayu untuk mengambil getah, menyadap:
Ayat: Pengganas-pengganas komunis telah menakik batang-batang getah dalam usaha mereka hendak merosakkan ekonomi Malaya.

Perkataan: memangkas
Maksud: memotong hujung tumbuh-tumbuhan supaya pendek.
Ayat: Mereka memangkas pokok-pokok kertau itu supaya sentiasa rendah dan mudah dipetik daunnya.
Maksud 2: memotong sesuatu dengan gunting atau menggunting.
Ayat 1: Beliau memangkas rambutnya supaya kelihatan rapi.
Ayat 2. Pak Halim memangkas hujung daun pokok itu supaua pokok itu cepat menjadi pokok yang besar.

Perkataan: mencantas
Maksud 1: memangkas atau memancung (hujung dahan, kepala, dll).
Ayat: Penculik itu telah memangkas kepala mangsanya apabila wang tebusan yang dituntutnya tidak dipenuhi.
Maksud 2. ki memotong atau mengurangkan sesuatu seperti perbelanjaan yang tidak perlu atau berlebihan:
Ayat: Pada tahun ini, ayah telah mencantas pelbagai perbelanjaan yang tidak perlu kerana negara mengalami masalah kemelesetan ekonomi.


Dengan berdasarkan semua maksud perkataan yang dikemukakan, jawaban yang paling tepat ialah A iaitu menutuh.

Untuk menguasai soalan seperti yang dikemukakan, sila buat latihan tentang soalan tersebut dengan lebih kerap dan jadikanlah Kamus Dewan sebagai rujukan utama.
Posted by agy7500

Monday, August 30, 2010

CONTOH JAWAPAN NOVEL

BAHASA MELAYU
SIJIL PELAJARAN MALAYSIA
KOD 1103/2

KERTAS 2

Soalan 4 Novel [15 markah]

Arahan:
Terdapat dua corak soalan yang dikemukakan dalam bahagian ini:

a. Soalan Komsas (Komponen Sastera)
Dalam bahagian ini, pelajar perlu menguasai teknik menjawab
Kesusasteraan Melayu meliputi:

· Tema

· Persoalan-persoalan

· Plot

· Watak dan Perwatakan

· Bahasa

· Teknik penceritaan

· Pengajaran-pengajaran

· Nilai-nilai

· Latar


b. Soalan KBKK (Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis)

Dalam bahagian ini pelajar dikehendaki memberi pandangan tentang

beberapa perkara yang diajukan pengarang ketika menghasilkan novel

mereka. Oleh itu, pelajar perlu mengetahui latar belakang penulis dan boleh

memberikan pandangan yang logik, kritis, kreatif dan rasional terhadap

persoalan yang dikemukakan berhubung penciptaan novel tersebut dan

tindak tanduk pengarangnya ketika mencipta novel berkenaan.


Contoh soalan:


1. Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan persoalan-persoalan yang

dikemukakan dalam novel tersebut:

Jawapan:


Novel yang saya kaji ialah Putera Gunung Tahan iaitu karya Ishak Haji Muhammad.

Persoalan yang dikemukakan oleh pengarang dalam novel ini ialah kegigihan orang Inggeris iaitu Tuan William dan Tuan Robert untuk mencari maklumat dan menjajah Gunung Tahan. Mereka meminta Ratu Bongsu memperkenan permintaan Inggeris untuk menjadikan Gunung Tahan sebagai tempat rehat pegawai-pegawainya.



Persoalan seterusnya ialah kesan buruk pengaruh budaya barat terhadap negara ini sehinggakan terdapat masyarakat di negara ini bersikap kebendaan. Misalnya Haji Adam sanggup menukarkan bangunan keagamaan untuk dijadikan pusat hiburan semata-mata kerana wang ringgit. Hasil pengaruh barat, muda-mudi tempatan bergaul bebas di kalangan mereka. Tengku Aishah mengandung anak luar nikah kerana pergaulan bebas.



Persoalan lain yang dikemukakan pengarang dalam novel ini ialah rasa cinta Ratu Bongsu dan Kursina terhadap tanah air mereka sendiri. Kedua-dua watak ini tidak melepaskan Puncak Gunung Tahan kepada orang Inggeris walaupun mereka telah dijanjikan dengan kemewahan.



Tanggungjawab terhadap orang bawahan juga menjadi persoalan dalam novel ini. Perempuan Tua dan Ratu Bongsu bertanggungjawab menyelamatkan penduduk di bawah jagaannya dengan tidak membenarkan kawasan mereka dimiliki oleh orang asing.



2. Berdasarkan novel yang anda kaji, jelaskan nilai-nilai yang terdapat dalam

novel tersebut. (Sudah keluar SPM Julai 2002)



Jawapan:



Novel yang saya kaji ialah Putera Gunung Tahan iaitu karya Ishak Haji Muhammad.



Terdapat beberapa nilai yang dikemukakan oleh pengarang dalam novel ini. Nilai gigih dan tidak putus asa dapat dilihat pada watak Tuan William dan Tuan Robert yang sangat gigih untuk menawan puncak Gunung Tahan walaupun mereka terpaksa menempuh pelbagai halangan untuk sampai ke puncak tersebut.



Sikap bekerjasama terdapat pada watak orang-orang Sakai. Mereka bergilir-gilir menjaga Tuan Robert setelah mereka berjaya menawan Tuan Robert. Begitu juga pahlawan-pahlawan Pahang telah bekerjasama di kalangan mereka ketika menentang penjajah Inggeris.



Sifat keberanian terdapat pada watak Tuan William dan Tuan Robert. Mereka berani menempuh pelbagai halangan untuk sampai ke puncak Gunung Tahan.



Ratu Bongsu pula mempunyai sifat menghormati tetami. Baginda melayani Tuan William sebagai tetamunya di puncak gunung Tahan.



3. Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan pengajaran-pengajaran yang

anda dapat daripada novel tersebut.



Jawapan:



Novel yang saya kaji ialah Putera Gunung Tahan iaitu karya Ishak Haji Muhammad.



Terdapat beberapa pengajaran yang boleh kita lihat menerusi novel ini. Misalnya, kita mestilah memiliki perasaan cinta pada tanah air sendiri seperti yang dimiliki oleh Ratu Bongsu, Perempuan Tua dan pahlawan-pahlawan tanah air kita. Mereka tidak membenarkan penjajah menguasai tanah air mereka.



Seterusnya, kita perlulah menghormati tetamu seperti yang dilakukan oleh Ratu Bongsu ketika melayani Tuan William sebagai tetamu di tanah airnya.



Kita mestilah mempunyai rasa simpati terhadap orang yang ditimpa kesusahan. Dalam novel ini Ratu Bongsu bersimpati terhadap Tuan Robert lalu baginda menyelamatkan Tuan Robert daripada ancaman orang sakai.



Seterusnya, kita mestilah menggunakan akal fikiran dalam menyelesaikan sebarang masalah. Perempuan Tua dan Ratu Bongsu bijak menggunakan akal fikiran dalam memperdaya Tuan Robert sehingga terperangkap di bilik khazanah.





4. Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan keistimewaan-keistimewaan

yang terdapat pada watak utama dalam novel berkenaan.



Jawapan:



Novel yang saya kaji ialah Putera Gunung Tahan iaitu karya Ishak Haji Muhammad.



Watak utama dalam novel Putera Gunung Tahan ialah Ratu Bongsu.



Watak ini mempunyai beberapa keistimewaan. Baginda menjadi ketua kepada orang bunian sedangkan baginda manusia biasa.



Ratu Bongsu memiliki rupa dan tubuh badan yang tampan sehingga Mem William terpikat kepadanya.



Ratu Bongsu juga memiliki pelbagai benda ajaib seperti teropong terus, pokok beringin bercakap dan burung pesuruh jaya yang boleh membantu mereka yang memerlukan perkhidmatannya.



Baginda tidak mementingkan kekayaan walaupun ditawarkan dengan pelbagai keistimewaan oleh Inggeris jika baginda menyerahkan gunung Tahan kepada penjajah.





5. Berdasarkan novel yang anda kaji, jelaskan latar masyarakat yang terdapat

dalam novel tersebut.



Jawapan:



Novel yang saya kaji ialah Putera Gunung Tahan iaitu karya Ishak Haji Muhammad.



Masyarakat yang terdapat dalam novel Putera Gunung Tahan ialah masyarakat orang Sakai yang tinggal di persekitaran puncak Gunung Tahan. Hasil hutan merupakan punca pendapatan mereka.



Terdapat masyarakat Inggeris dalam novel ini. Mereka ialah Tuan William dan Tuan Robert yang digambarkan sebagai wakli penjajah di Tanah Melayu.



Manakala masyarakat raja pula terdiri daripada Ratu Bongsu dan Perempuan Tua. Baginda ialah waris negeri Pahang yang menentang penjajah.



Masyarakat orang bunian pula diwakili oleh Kusina. Kursina ialah pengikut setia kepada Ratu Bongsu dan menjadikan kawasan gunung Tahan sebagai tempat kediamnannya.





6. Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan peranan watak utama dalam

novel berkenaan.



Jawapan:



Novel yang saya kaji ialah Putera Gunung Tahan iaitu karya Ishak Haji Muhammad.



Watak utama dalam novel yang saya kaji ini ialah Ratu Bongsu. Terdapat beberapa peranan yang dimainkan watak ini. Misalnya, watak ini ialah waris pemerintahan negeri Pahang yang tinggal di puncak gunung Tahan kerana bencikan penjajah..



Selain itu, watak in merupakan pejuang tanah air. Ratu Bongsu tetap dengan pendiriannya tidak mahu menyerahkan Gunung Tahan kepada Inggeris. Di sini ternyata ada waris raja yang tidak mahu tanah air mereka dijajah.



Seterusnya, Ratu Bongsu berperanan sebagai anak raja yang mempunyai pendirian yang tegas. Baginda tidak terpengaruh dengan wang ringgit demi menjaga maruah diri dan tidak mahu negaranya tergadai kepada musuh.



Baginda juga merupakan penyelamat adat resam orang Melayu dan amat marah kepada orang Inggeris kerana telah mempengaruhi corak hidup masyarakat tempatan.





7. Berdasarkan novel yang anda kaji, nyatakan latar tempat bagi novel

berkenaan.



Jawapan:



Novel yang saya kaji ialah Putera Gunung Tahan iaitu karya Ishak Haji Muhammad.



Latar tempat yang terdapat dalam novel ini ialah di sebuah hutan rimba iaitu tempat Perempuan Tua melahirkan seorang putera bernama Ratu Bongsu yang merupakan waris kesultanan Pahang. Dalam cerita ini juga terdapat sebuah gua di kaki gunung Tahan iaitu tempat Tuan Robert dan Tuan William berteduh ketika ingin mendaki puncak gunung Tahan.

Bilik Khazanah iaitu tempat Tuan William mati terperangkap.



Kampung Rimau Putih ialah tempat Tuan Robert berkenalan dengan perempuan Tua dan tempat Tuan Robert dijadikan penghulu bergelar Batin Putih.



Sebuah padang yang luas lagi indah iaitu tempatTuan William berhenti seketika apabila sampai di puncak gunung Tahan.



Rumah Haji Adam pula ialah sebuah rumah yang pada awalnya ingin dijadikan madrasah tetapi diubah menjadi pusat hiburan apabila Inggeris menjajah Pahang.





8. Penulis menerapkan banyak nilai murni dalam karyanya untuk dijadikan

panduan hidup. Huraikan tujuan penulis berbuat demikian dengan

mengemukakan contoh-contoh yang sesuai.



Jawapan:



Novel yang saya kaji ialah Putera Gunung Tahan iaitu karya Ishak Haji Muhammad.



Tujuan penulis menerapkan nilai-nilai murni dalam karya ini supaya nilai tersebut menjadi teladan kepada pembaca.



Sikap Ratu Bongsu yang berpendirian tegas merupakan sikap yang perlu diikut oleh pembaca supaya kita tidak dipermainkan oleh musuh kita.



Penerapan nilai murni juga bertujuan membangkitkan semangat patriotik kepada pembaca. Contohnya Ratu Bongsu menolak tawaran Tuan William semata-mata cintakan tanah air sendiri atau tidak mahu Gunung Tahan dijajah.



Perempuan Tua pula kukuh berpegang kepada agama Islam walaupun sudah lama tinggal bersama-sama dengan masyarakat Sakai. Oleh itu, mereka yang berpegang kepada nilai agama, hidupnya sukar dipengaruhi oleh adat budaya yang lain.



Akhirnya, nilai ketabahan yang terdapat pada Tuan William untuk mendaki gunung Tahan boleh menjadi ikutan kepada pembaca supaya tabah dalam mengejar cita-cita atau kejayaan.





9. Dalam mencipta novel, penulis telah memilih beberapa persoalan untuk

dijadikan fokus utama dalam novelnya. Berdasarkan novel yang anda kaji,

nyatakan tujuan pengarang menimbulkan persoalan-persoalan tersebut.



Jawapan:



Novel yang saya kaji ialah Putera Gunung Tahan iaitu karya Ishak Haji Muhammad.



Beberapa persoalan telah dikemukakan oleh pengarang dalam novel ini. Misalnya persoalan tentang perjuangan tanah air. Penulis pernah hidup di bawah zaman penjajahan Inggeris. Keadaan ini mendorong beliau merakamkan perjuang orang-orang Melayu seperti Ratu Bongsu dan Perempuan Tua ketika pemerintahan Inggeris bagi tatapan masyarakat Melayu kemudian hari..



Seterusnya, penulis cuba membangkitkan semangat patriotik kepada pembaca supaya pembaca turut berjuang mempertahan tanah air dan budaya bangsa sendiri.

Selain itu, penulis ingin memberitahu kepada pembaca bahawa terdapat sebilangan orang Melayu memperjuangkan kebendaan ketika di bawah penjajahan Inggeris. Contohnya, Haji Adam sanggup mengubah niat daripada membangunkan madrasah kepada membangunkan tempat hiburan bagi menagih keuntungan.



Sebagai pejuang politik, penulis cuba menyampaikan mesej politiknya melalui novel ciptaannya. Ternyata novel ini brtujuan dijadikan alat bagi mempengaruhi masyarakat memperjuangkan tanah air untuk menuntut kemerdekaan. Perjuangan tersebut dapat dilihat pada watak Ratu Bongsu, Perempuan Tua dan Kusina.





10. Setiap pengarang cuba menerapkan nilai-nilai murni dalam karyanya.

Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan nilai-nilai murni yang terdapat

dalam karya tersebut.



Jawapan:



Novel yang saya kaji ialah Putera Gunung Tahan iaitu karya Ishak Haji Muhammad.



Terdapat beberapa nilai murni yang ditonjolkan pengarang dalam novel ini. Misalnya sikap sabar terdapat pada watak Tuan Robert. Tuan Robert digambarkan sebagai seorang yang sabar ketika ditawan oleh orang-orang Sakai.



Semangat cintakan tanah air terdapat pada watak Ratu Bongsu, Perempuan Tua dan pahlawan-pahlawan Melayu. Mereka berjuang mempertahan tanah air agar tanah air mereka tidak dirampas oleh orang lain.



Sikap berbudi bahasa terdapat pada watak Perempuan Tua. Perempuan tua tetap melayani Tuan Robert atau pun Tuan William sebagai tetamu walaupun beliau tahu mereka itu adalah musuhnya.



Sikap taat setia terdapat pada watak Kusina. Kusina sangat taat kepada Ratu Bongsu sebagai tuannya. Beliau sentiasa menurut perintah ratu Bongsu.sebagai raja yang dikasihinya.





11. Nyatakan peristiwa-peristiwa yang dianggap menarik berdasarkan novel

yang anda kaji.





Jawapan:



Novel yang saya kaji ialah Putera Gunung Tahan iaitu karya Ishak Haji Muhammad.



Terdapat beberapa peristiwa yang saya anggap menarik dalam novel yang saya kaji ini. Peristiwa tersebut ialah orang-orang Sakai melantik Tuan Robert sebagai penghulu mereka dengan gelaran ‘Batin Putih’. Perkara yang menarik ialah Tuan Robert dapat diterima sebagai penghulu oleh orang-orang sakai walaupun dia orang asing.



Peristiwa lain yang menarik ialah layanan Ratu Bongsu terhadap Tuan William. Ratu Bongsu sangat benci kepada penjajah tetapi melayani mereka dengan baik sebagai tetamu. Peristiwa seperti ini jarang berlaku bagi mereka yang sedang bermusuh-musuhan.



Peristiwa lain yang menarik ialah kebolehan Ratu Bongsu berinteraksi dengan orang bunian. Keupayaan Ratu Bongsu menguasai bahasa orang bunyian menyebabkan orang bunian taat kepada baginda.



Seterusnya, Perempuan Tua boleh ghaib atau menghilangkan diri setelah memberi nasihat kepada Ratu Bongsu agar berhati-hati terhadap Tuan William. Ini menunjukkan Perempuan Tua bukanlah orang sebarangan. Ternyata Perempuan Tua merupakan seorang pejuang yang mempunyai keistimewaan yang tersendiri.





12. Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan kepentingan watak dalam

sesebuah karya sastera.



Jawapan:



Novel yang saya kaji ialah Putera Gunung Tahan iaitu karya Ishak Haji Muhammad.



Dalam novel ini Ishak menggunakan watak Putera Gunung Tahan dalam menyampaikan ideologi politiknya. Putera Gunung Tahan digambarkan sebagai pejuang tanah air bagi menentang penguasaan penjajah terhadap Tanah Melayu iaitu seiring dengan sikapnya benci terhadap penjajahan Inggeris.



Selain itu, sesuatu watak juga penting dalam memperkembangkan cerita atau persoalan-persoalan yang digarap oleh penulis dalam karyanya. Misalnya, persoalan keruntuhan ahlak di kalangan gadis Melayu digambarkan oleh pengarang melalui Tengku Cah yang mengandung anak tanpa nikah. Ketamakan orang-orang Inggeris mengejar kebendaan pula digambarkan melalui Tuan Robert.



Seterusnya, tingkah laku sesuatu watak akan mempengaruhi perkembangan sesuatu certia atau plot dalam sesebuah novel. Melalui watak Tuan William digambarkan sebab-sebab beliau mendaki gunung Tahan iaitu ingin menjadikan gunung Tahan sebagai tanah jajahan Inggeris atau tempat berehat pegawai-pegawai Inggeris. Seterusnya melalui watak ini juga diceritakan pelbagai cara atau langkah yang digunakan orang Inggeris bagi memujuk pembesar Melayu supaya menyerahkan tanah air kepada mereka.



Pengarang juga cuba membangkitkan semangat patriotisma di kalangan pembaca melalui sesuatu watak dalam sesebuah carita. Pengarang cuba membangkitkan semangat perjuangan orang-orang Melayu melalui tokoh-tokoh pejuang Melayu seperti Tok Bahaman, Mat Kilau, Perempuan Tua, Orang-orang Sakai dan Putera Gunung Tahan sendiri.



Contoh Soalan:




Soalan 4 : Novel



[15 markah]


Jawapan mestilah berdasarkan satu daripada novel-novel berikut:


(i) Terminal Tiga karya Othman Puteh

(ii) Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj. Yusuf

(iii) Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said

(iv) Bukit Kepong karya Ismail Johari

(v) Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain

(vi) Seteguh Karang karya Tuan Faridah Syed Abdulah

(vii) Julia karya Abu Hassan Morad

(viii) Putera Gunung Tahan karya Ishak Hj. Muhammad


a. Huraikan latar tempat serta peristiwa yang menarik yang berlaku di tempat

berkenaan seperti yang terdapat dalam novel yang anda pelajari.Pada

pendapat anda mengapakah pengarang memilih tema berkenaan dalam

novel yang anda pelajari? [8 markah]



b. Berikan biodata pengarang bagi novel yang telah anda kaji.
[7 markah]




KERTAS SOALAN TAMAT


Skema Jawapan Soalan 4


a. Tempat dan peristiwa dalam novel Putera Gunung Tahan [8m]

- Sebuah gua – Tempat Tuan William dan Tuan Robert berlindung daripada

hujan ketika mendaki puncak GT.

- Kampung Rimau Putih – Tempat Tuan Robert menemui ajal/ meninggal

dunia/ Tempat Tuan Robert berkenalan dengan Perempuan Tua/ Sebuah

perkampungan Orang Sakai iaitu kampung Tuan Robert ditempatkan ketika

dicolek.

- Puncak GT- Tempat Tuan William memujuk Ratu Bongsu supaya menjual

Gunung Tahan kepada Inggeris/Tempat Tuan Robert menemui ajal.

- Istana Ratu Bongsu/ Bilik Khazanah – Tempat Tuan William mati

terperangkap.

- Pondok Perempuan Tua – Tempat Tuan Robert berbual-bual panjang

dengan Perempuan Tua.

- Rumah Haji Adam – Tempat majlis tari-meneri/ tempat hiburan pelbagai

masyarakat atau golongan muda-mudi.

- Taman Indera Kayangan – Tempat Tuan William dan Ratu Bongsu

menghadap Maharani untuk mendapat khidmat Pohon Beringin Bercakap.

- Gereja – Tempat orang Inggeris menyembah nabi Isa.

- Rumah Tuan William – Tempat Mem William bercumbu-cumbuan dengan

lelaki lain.

Catatan:

- Pilih 5 tempat dan 5 peristiwa yang terjadi ditempat tersebut.

- Ada tempat dan ada peristiwa – 1m.

- Ada tempat sahaja – ½ m.

- Ada peristiwa tetapi tiada tempat – 0 m.

- Ada tempat dan penerangan tempat/ bukan peristiwa – ½ m

- Markah bahasa 3 markah – tolak ½ m bagi setiap kesalahan bahasa.

- Maksimum markah bahasa yang ditolak ialah 2 m sahaja.


b. Biodata penulis Novel Putera Gunung Tahan


- Penulisnya Ishak Haji Muhammad/ Hantu Raya/ Anuar/ Pak Pandir Moden/

Isako San.

- Dilahirkan pada September 1909 di kampung Bukit Saguntang, Temerloh,

Pahang.

- Mendapat pendidikan di sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis pada tahun

1924 – 1928.

- Lulus Sijil Persekolahan pada tahun 1929.

- Meneruskan pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar pada tahun 1930.

- Pernah menjadi Penolong Pegawai Daerah di Temerloh/ Rembau.

- Pernah menjadi Majestret Kelas III di Kuala Lumpur.

- Pernah bertugas dengan Warta Malaya.

- Bertugas dengan Utusan Melayu antara tahun 1939 – 1941.

- Pernah bergiat dalam Kesatuan Melayu Muda.

- Pernah ditahan oleh pihak Inggeris/ dibebaskan oleh Jepun.

- Aktif dalam politik/ kewartawanan.


Catatan:

- Pilih 4 isi di atas.

- Setiap isi 1 m.

- Markah bahasa ialah 3 m

- Tolak ½ m bagi setiap kesalahan bahasa.

- Markah minuman bahasa ialah 1 m.



a. Tempat dan peristiwa dalam novel Di Hadapan Pulau [8m]

- Kem tentera – Tempat orang-orang kampung mencari pekerjaan.

- Sebuah jambatan – Tempat laluan penduduk kampung/ tempat askar Britis

dan Australia berkawal ketika peperangan hampir meletus.

- Shelter – tempat orang kampung berlindung ketika meletus peperangan/

tempat Tok Marzuki kena bom.

- Tanah perkuburan – tapat Aziz dan Afidah mencari makanan yang

disembunyikan.

- Tepi pantai – tempat Aziz menangis ketika terkenangkan arwah ayahnya/

tempat Tok Marzuki berjanji untuk membawa Aziz ke Pulau Jakun.

- Merlimau – tempat Tok Marzuki mendapat bekalan makanan ketika

peperangan mula meletus.

- Rumah Mak Ketong – tempat Afidah tinggal sementara Tok Marzuki pulang

ke Merlimau mencari makanan.

- Kedai todi – tempat Aziz mengambil upah membeli todi.

- Rumah Mak Cik Joyah – tempat Aziz tinggal.

- Pekan Kecil – tmpat orang kampung membeli barang-barang keperluan

harian sebelum perang.

- Di tepi rumah Syed Fikri – tempat Syed Fikri bercucuk tanam.


Catatan:


- Pilih 5 tempat dan 5 peristiwa yang terjadi ditempat tersebut.

- Ada tempat dan ada peristiwa – 1m.

- Ada tempat sahaja – ½ m.

- Ada peristiwa tetapi tiada tempat – 0 m.

- Ada tempat dan penerangan tempat/ bukan peristiwa – ½ m

- Markah bahasa 3 markah – tolak ½ m bagi setiap kesalahan bahasa.

- Maksimum markah bahasa yang ditolak ialah 2 m sahaja.


b. Biodata penulis novel Di Hadapan Pulau


- Penulisnya ialah A. Samad Said/ Abdul Samah Bin Muhamed.

- Dilahirkan pada 9 April 1935 di kampung Berlimbing Dalam, Durian Tunggal,

Melaka.

- Mendapat pendidikan di sekolah Melayu Kota Raja pada tahun 1940-1956.

- Lusus Senior Cambridge pada tahun 1956.

- Pernah menjadi kerani/ wartawan/ pengarang akhbar.

- Pernah menjadi pengarang akhbar Fikiran Rakyat/ Utusan Zaman/ Berita

Harian.

- Menghasilkan puisi, drama, cerpen dan esei kritikan.

- Pada tahun 1976 dianugerahi gelaran Pejuang Sastera oleh Pemerintah

Melaysia.

- Menerima anugerah SEA Write Award pada tahun 1976 daripada negara

Thailand.

- Pada tahun 1985 menerima anugerah Sasterawan Negara.

- Pernah bertugas di Unit Pembangunan Sastera/ Majalah Sastera di News

Strats Times/ Berita Harian.

- Antara novelnya ialah Bulan Tak Bermadi di Fatehpur Sikri/ Sungai Mengalir

Lesu/ Langit Petang/ Daerah Zeni/ Hujan Pagi/ Cinta Fansuri.

- Menghasilkan kumpulan cerpen Debar Pertama/ Liar Di Api/ Daun-Daun

Berguguran/ Hati Muda Bulan Muda.

- Dapat anugerah Darjah Mulia Seri Melaka bergelar Datuk daripada kerajaan

Melaka.


Catatan:


- Pilih 4 isi di atas.

- Setiap isi 1 m.

- Markah bahasa ialah 3 m

- Tolak ½ m bagi setiap kesalahan bahasa.

- Markah minuman bahasa ialah 1 m.

©2009 Zainudin bin Dirin

BUGAR BAHASA (6)

Ini kerana ?

Sumber:http://witra.blogspot.com/

Salam hormat,

1. Sering saya ditanya oleh kalangan pelajar dan guru tentang terjemahan dalam bahasa Melayu bagi frasa "that is because".

2. Pertama sekali, yang perlu kita sedari ialah penggunaan "ini kerana" merupakan
terjemahannya yang sering digunakan, oleh hampir kebanyakan masyarakat dan media.

3. Saya ingin menyatakan bahawa frasa "ini kerana" tidak tepat, dan kesilapan ini telah lama dibetulkan. Saya percaya banyak guru dan pelajar telah mengetahui hal ini.

4. Maka, oleh sebab itu, bentuk yang baharu digunakan untuk menggantikan frasa "ini kerana", iaitu "hal ini demikian kerana".

5. Namun begitu, persoalannya, adakah bentuk "hal ini demikian kerana" itu betul?

6. Mari kita kaji hal ini secara ringkas.

7. Ayat mestilah terdiri daripada subjek dan predikat. Subjek terdiri daripada frasa nama manakala predikat boleh terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama.

8. Bagi bentuk "hal ini demikian kerana", yang manakah yang menjadi subjeknya?

9. Ya, subjeknya ialah "hal ini". Bagaimanakah pula dengan predikatnya?

10. Adakah predikatnya, "demikian kerana"?

11. Jikalau bukan, adakah "demikian"?

12. Banyak orang beranggapan bahawa "demikian" ialah predikatnya, dan "kerana" merupakan keterangan predikat.

13. Ya, itulah pegangan kebanyakan orang. Tetapi, jikalau kita menyatakan bahawa "demikian" itu menjadi predekikatnya, apakah golongan katanya.

14. Saya telah menyatakan bahawa predikat hanya terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama.

15. Jelas sekali, perkataan "demikian" tidak tergolong dalam mana-mana golongan kata yang boleh dijadikan konstituen predikat. Perkataan "demikian" merupakan golongan kata adverba. Untuk makluman, golongan kata adverba merupakan jenis kata baharu yang disenaraikan dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008).

16. Dan, kata adverba tidak boleh dijadikan konstituen predikat kerana kata adverba merupakan kata tugas.

17. Oleh sebab itu, bentuk "hal ini demikian kerana" tidak tepat kerana bentuk tersebut tidak mempunyai predikat.

18. Untuk membetulkannya, kita perlu memasukkan unsur predikat agar bentuk yang terbina betul.

19. Unsur predikat yang dicadangkan adalah seperti "berlaku" dan "terjadi". Bentuk yang terbina akan menjadi "hal ini berlaku demikian kerana" ataupun "hal ini terjadi demikian kerana".

20. Subjeknya ialah "hal ini"; predikatnya "berlaku/terjadi"; dan "demikian" merupakan adverba atau keterangan bagi kata kerja "berlaku/terjadi". Perkataan "kerana" tetap menjadi keterangan predikat.

21. Oleh sebab itu, elakkanlah penggunaan bentuk "ini kerana" atau "hal ini demikian kerana" agar mutu tatabahasa kita terpelihara dan kesilapan dapat dielakkan. Mulai sekarang, gunakanlah bentuk "hal ini berlaku demikian kerana...".

* Jika pengunjung memerlukan khidmat nasihat tentang tatabahasa, saya sedia membantu saudara kerana saya percaya bahawa bantu-membantu akan menjadikan kita lebih dewasa dan berfikiran terbuka, luas, dan inilah salah satu cara untuk mengangkat martabat bahasa Melayu.

url: http://witra.blogspot.com/2009/02/tatabahasa-ini-kerana.html

BUGAR BAHASA (5)

Kata Pemeri Adalah dan Ialah
Dimasukkan pada 31.7.09 0 Komentar
Topik: tatabahasa

Sumber: Blog Santun Bahasa (Profesor Emeritus Abdullah Hassan)

---

Berikut ada sebuah permintaan daripada Encik Danish.

Salam Tuan Prof.

Saya hendak bertanya.

Saya keliru dengan penggunaan “ialah” dan “adalah”. Apa perbezaan antara dua perkataan itu, dan bagaimana hendak digunakan?

Terima kasih atas tunjuk ajar Tuan.

danish (dohimbang@yhoo.com)

Bahagian ini diambil daripada Tatabahasa Dewan edisi terakhir. Ini adalah Tatabahasa Dewan. Saya bukan pengarangnya.

Namun, saya sudah mencuba menyesuaikan bahasa dan poersembahannya supaya mudah difahami. Sila baca dengan teliti dan sekiranya masih ada kesukaran memahaminya, silalah kemukakan pertanyaan Encik kepada saya. Saya akan menjawab pertanyaan selanjutnya dengan menggunakan kaedah saya sendiri.

Kata Pemeri

Kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Pemerihalan itu dapat dilakukan melalui dua cara, iaitu:

(i) secara persamaan antara subjek dengan predikat atau ekuatif, dengan penggunaan kata pemeri ialah,
(ii) secara huraian tentang subjek oleh predikat, dengan penggunaan kata pemeri adalah.

Penggunaan kata pemeri ‘ialah’ hadir di hadapan frasa nama seperti yang terdapat dalam ayat-ayat berikut:

148. Antara perkara yang dibicarakan dalam buku itu ialah masalah moral negara.
149. Dalam terjemahan komunikatif, yang mustahak ialah mesej yang hendak disampaikan.
150. Bahasa Melayu ialah bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia.

Kata pemeri ‘adalah’ pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi seperti yang terdapat dalam ayat berikut:

151. Sumbangan besar beliau adalah dari segi peningkatan ekonomi rakyat luar bandar.
152. Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan.

Perlu diingat bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas, dan sebenarnya kurang digalakkan dalam pembentukan ayat bahasa Melayu.

Perlu juga diingat bahawa kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Oleh yang demikian, penggunaan kata pemeri ‘adalah’ dalam ayat-ayat berikut dianggap menyalahi tata nahu bahasa Melayu.

153. * Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok.
154. * Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
155. * Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin. 156. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.

Ayat di atas seharusnya berbentuk seperti berikut:

Ayat 153. * Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok, yang betul adalah seperti berikut:

153a. Dengan ini diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok. ‘
153b. Anda diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.
153c. Ibu bapa diberitahu sekolah akan ditutup esok.
153d. Tuan-tuan diberitahu sekolah akan ditutup esok.
153e. Dengan hormatnya diberitahu sekolah akan ditutup esok.

Ayat 154. *Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan, yang betul adalah sepert berikt:

154a. Dengan ini dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
154b. Tuan dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
154c. Anda dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.

Ayat 155. *Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin, yang betul adalah seperti berikut:

155a. Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin.

Ayat 156. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu, yang betul adalah seperti berikut:

156a. Kegagalan projek itu disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.

Batasan Penggunaan Kata Pemeri "Adalah"

Sumber: http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com

Perlu diingat bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas, dan sebenarnya kurang digalakkan dalam pembentukan ayat dalam bahasa Melayu. Perlu juga diingat bahawa kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Oleh demikian, penggunaan kata pemeri adalah dalam ayat-ayat berikut dianggap menyalahi tatabahasa bahasa Melayu.

153. *Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok.

154. *Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.

155. *Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin.

156. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecualian pihak pengurusan syarikat.

Ayat yang di atas seharusnya berbentuk seperti yang berikut:

153 (a) Dengan ini diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok. (Frasa dengan ini dapat digantikan dengan “anda”, “ibu bapa”, “tuan-tuan” atau “dengan hormatnya”.)

154 (a) Dengan ini dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan. (Frasa dengan ini dapat digantikan dengan “tuan” atau “anda”.)

155 (a) Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin.

156 (a) Kegagalan projek itu disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu. (Kata pemeri adalah di hadapan kata kerja disebabkan sudah digugurkan.)

Petikan daripada Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008), halaman 264 – 265 dengan sedikit penyesuaian.

Nota
Tanda * menunjukkan ayat itu tidak gramatis.

url: http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/02/batasan-penggunaan-kata-pemeri-adalah.html


Ke-...-an: Imbuhan apitan atau bukan?

Apitan merupakan imbuhan yang ditambahkan serentak pada hadapan dan pada belakang kata dasar.

keamanan = ke- + aman + -an
kesejukan = ke- + sejuk + -an
kementerian = ke- + menteri + -an

kewajipan = ke- + wajip + -an (?)

Adakah ke-...-an dalam kata 'kewajipan' merupakan imbuhan apitan atau terdapat kekecualian fungsinya sebagai imbuhan apitan?

Kata 'wajip' tidak terdapat dalam senarai Daftar Ejaan Rumi BM. Begitu juga tidak terakam dalam Kamus Dewan Edisi keempat. Dalam senarai panduan bahasa DBP dan Daftar Ejaan Rumi BM kata 'kewajipan' diperakukan penggunaannya dengan ejaan yang betulnya 'kewajipan'.

BUGAR BAHASA (4)

Angka Roman Tidak Memerlukan Awalan Ke
Dimasukkan pada 8.11.09 0 Komentar
Topik: tatabahasa

Awalan ke tidak diperlukan untuk angka roman. Tuan Haji Muhammed Salehudin Aman menyatakan hal ini dalam ruangan “Cintai Bahasa Kita” dalam Dewan Siswa keluaran November 2009. Menurut beliau, jika angka itu angka roman, kata sendi ke dan tanda sempang tidak perlu ditulis.

Perkara ini tercatat juga dalam Koleksi Lembar Bahasa Bil 1. Cetakan pertama lembar ini adalah pada tahun 2002. Lembar ini dicetak ulang pada tahun 2006 dan 2007.

Ungkapan contoh yang salah dan yang betul adalah seperti yang di bawah:

*ke II → II
*ke-II → II
*ke III → III
*ke-III → III
*ke IV → IV
*ke-IV → IV
*ke V → V
*ke-V → V
*Kolokium Bahasa Melayu *ke VI → Kolokium Bahasa Melayu VI
*Kolokium Bahasa Melayu *ke-VI → Kolokium Bahasa Melayu VI
*Sukan SEA *ke XIV → Sukan SEA XIV
*Sukan SEA *ke-XIV → Sukan SEA XIV

BUGAR BAHASA (3)

Peraturan Tatabahasa Menggunakan “bakal” dan “akan”
Dimasukkan pada 13.2.10 0 Komentar
Topik: tatabahasa

Perkataan "bakal" dan "akan" amat berbeza. Kita boleh menulis "bakal isteri" tetapi tidak boleh menulis "akan isteri".

Perkataan "bakal" merujuk pada "status".

a. Dia bakal tunang saya.
b. Dia tunang saya.
c. Dia bekas tunang saya.

Perkataan "akan" merujuk kepada "mode".

a. Dia belum berkahwin.
b. Dia akan berkahwin.
c. Dia sudah berkahwin.

"bakal" sentiasa diikuti oleh katanama:

bakal isteri (BETUL)
bakal tunang (BETUL)
bakal ayah mertua (BETUL)
bakal perdana menteri (BETUL)
bakal ketua pengarah (BETUL)

"akan" sentiasa diikuti oleh katakerja:

akan lahir (BETUL) = bakal lahir (SALAH)
akan berkahwin (BETUL) = bakal berkahwin (SALAH)
akan dinikahkan (BETUL) = bakal dinikahkan (SALAH)
akan berpisah (BETUL) = bakal berpisah (SALAH)
akan rujuk (BETUL) = bakal rujuk (SALAH)
---
Sumber: UNIKA PTS
[Baca Selanjutnya Peraturan Tatabahasa Menggunakan “bakal” dan “akan”]

BUGAR BAHASA (2)

Pola Ayat Dasar
Dimasukkan pada 19.8.10 komentar (1)
Topik: bahasa melayu 1, sintaksis, tatabahasa

POLA AYAT DASAR DAN FRASA

Pola ayat dasar merupakan sumber kepada pembentukan ayat-ayat dalam Bahasa Melayu. Ayat dasar juga dikenali sebagai ayat mudah atau ayat inti. Terdapat empat pola ayat dasar berdasarkan unsur-unsur binaan ayat:

i. FN+FN
ii. FN+FK
iii. FN+FA
iv. FN+FS

Frasa

Frasa ialah unit tatabahasa yang boleh terdiri daripada satu susunan yang mengandungi sekurang-kurangnya satu atau dua perkataan yang berpotensi untuk diperluaskan menjadi dua perkataan atau lebih.

Frasa menjadisubjek atau predikat dalam binaan ayat serta menjadi konstituen atau binaan kepada klausa.

Frasa terbahagi kepada empat, iaitu frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama

Dalam setiap frasa ada perkataan yang yang dikenali sebagai inti frasa, iaitu perkataan yang paling penting dalam frasa. Contoh (berdasarkan Pola FN+FN) :
Kakak saya seorang pramugari = Kakak pramugari
Di sini ‘kakak’ dan ‘pramugari’ adalah inti frasa kepada kedua-dua pola tersebut.

Jenis perkataan yang menjadi inti frasa menentukan sama ada ia menjadi frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif atau frasa sendi nama.

1) Frasa Nama (FN)

Frasa nama yang terbentuk daripada sederetan perkataan mempunyai dua jenis hubungan antara perkatan-perkataan ini :
a) inti & penerang
Contoh : Guru sekolah menengah itu sedang menasihati murid-muridnya (FN+FK)
Guru  inti ; sekolah menengah itu  penerang
b) inti & inti.
Contoh : Ibu bapa perlu mendidik anak (FN+FK)
Ibu  inti ; bapa  inti.

Dalam binaan frasa nama, penyusunan setiap konstituen amat pentng untuk menentukan sama ada frasa nama itu digunakan dengan betul atau tidak. Oleh itu, peraturan Hukum D-M, penggunaan kata bilangan serta panggilan dan penerang mestilah sesuai dalam frasa nama.

Hukum D-M ialah Hukum Diterang (D) dan Hukum Menerang (M). Dalam frasa nama, unsur inti yang berada pada kedudukan pertama adalah unsur diterangkan, dan pada kedudukan kedua merupakan unsur menerangkan.
Contoh : Guru bahasa ; Guru  inti / (D)
bahasa  penerang /(M)
Hukum D-M mempunyai beberapa kekecualian, antaranya ialah jawatan tertentu yang biasa digunakan seperti Perdana Menteri (sepatutnya Menteri Perdana) dan naib presiden (sepatutnya presiden naib).


2) Frasa Kerja (FK)

Frasa kerja terbina daripada satu perkataan sahaja (iaitu terdiri daripada kata kerja tak transitif) atau sederetan perkataan yang menjadi unsur predikat dalam ayat. Binaan frasa kerja terbahagi kepada dua :
a) Frasa kerja yang tidak mengadungi obejk dan tidak memerlukan kata nama sebagai penyambung untuk melengkapkannya. Kata kerja di sini ialah kata kerja tak transitif.
Contoh : Adik menangis (FN+FK)
b) Frasa kerja yang mengandungi objek selepas kata kerja untuk melengkapkan frasa ini. Kata kerja di sini ialah kata kerja transitif yang memerlukan objek yang terdiri daripada kata nama. Objek berkenaan boleh diikuti oleh penerang.
Contoh : Saya menangkap burung gagak di hutan. (FN+FK) ; di sini :
burung gagak  objek
di hutan  penerang

3) Frasa Adjektif (FA)

Frasa adjektif boleh terbina daripada satu perkataan atau sederetan perkataan yang mengandungi kata adjektif sebagai inti. Frasa adjektif adalah unsur predikat dalam binaan ayat atau sebagai unsur keterangan dan unsur penerang dalam predikat, yang hadir selepas kata kerja. Manakala sebagai kata penerang, kata adjektif hadir selepas kata nama.

Binaa frasa adjektif yang terdiri daripada satu perkataan sahaja adalah seperti malas, muram, dan kosong. Frasa adjektif juga boleh dibahagikan kepada dua golongan :

a) Kombinasi dua kata adjektif yang menekankan beberapa unsur:
- keserasian makna. Contoh : cantik molek, penat lelah
- makna berlawanan. Contoh : baik buruk, kecil besar
- keindahan bunyi ritma. Contoh : lemah longlai, kusut masai

b) Binaan frasa adjektif yang terdiri daripada kata adjektif sebagai inti dan kata nama sebagai penerang. Ia membawa dua maksud
- keserupaan. Contoh : merah darah , hijau daun
- kiasan. Contoh : panjang tangan, besar kepala

Dalam frasa adjektif, kata penguat boleh hadir dalam beberapa keadaan:
a) Di hadapan : paling degil, amat bijak
b) Di belakang : murah sekali, cepat benar
c) Secara bebas : amat cantik, cantik amat.
d) Secara berderetan : sungguh berani sekali, belum cerdik lagi

Dalam susunan ayat biasa, frasa adjektif hadir sebagai predikat, sebagai kata keterangan selepas kata kerja dan penerang selepas frasa nama. Dalam susunan ayat biasa, frasa adjektif boleh mengalami susunan songsang. Contoh :
Rumah Ani amat besar sekali  Amat besar sekali rumah Ani

4) Frasa Sendi Nama (FS)
Frasa sendi nama ialah binaan dalam ayat yang terdiri daripada satu sendi nama dan frasa nama yang menjadi pelengkap kepada sendi nama itu. Dalam binaan ayat biasa, frasa sendi nama menjadi predikat dalam ayat.

Frasa sendi nama boleh dibentuk melalui empat cara :

a) Sendi nama dan frasa nama. Contoh : di pasar
b) Sendi nama, kata nama arah dan frasa nama. Contoh : di tepi pasar
c) Sendi nama, kata nama arah, frasa nama dan ayat komplemen. Contoh : ke dalam hutan untuk menangkap rusa.
(binaan ketiga ini memperlihatkan kita bahawa unsur kata nama arah dan ayat komplemen merupakan unsur pilihan)
d) Sendi nama, kata nama arah, frasa nama dan frasa keterangan. Contoh : di selatan negeri China pada tiap-tiap bulan.
(binaan keempat ini memperlihatkan unsur keterangan bersifat pilihan

BUGAR BAHASA

Apitan 'ke-...-an' yang Membentuk Kata Nama dan Kata Kerja

Ayat "Orang itu kekurangan tenaga" adakah tergolong dalam pola ayat FN + FN atau FN + FK?

- Zul

Sdr. Zul,

Untuk menentukan adakah predikat ayat itu frasa nama atau frasa kerja, perlu dikenal pasti adakah unsur inti frasa itu merupakan kata nama atau kata kerja. Sekilas lalu, kata 'kekurangan' merupakan kata nama, tetapi dalam konteks tertentu, kata yang menerima apitan 'ke-...-an' dapat juga berbentuk kata kerja.

Dalam ayat itu, jelas bahawa kata 'kekurangan' merupakan kata kerja pasif yang menerima apitan 'ke-...-an', iaitu dengan makna subjek ayat(orang itu) merupakan subjek penderita, bukan subjek pelaku. Subjek ayat "Orang itu" tidak melakukan sesuatu, sebaliknya mengalami keadaan kekurangan sesuatu, iaitu kekurangan tenaga.

Kata itu tergolong dalam kata nama jika digunakan sebagai subjek atau objek ayat, seperti:

1. Kekurangan tenaga asli yang dapat menjana elektrik menyebabkan kerajaan terpaksa mencatu bekalan elektrik. (Kata 'kekurangan' sebagai subjek)

2. Negara mengalami kekurangan hasil sejak beberapa tahun lalu. (Kata 'kekurangan' sebagai objek)

Kesimpulannya, kata yang menerima apitan 'ke-...-an' dapat berbentuk kata nama dan juga kata kerja (kata kerja pasif), bergantung pada konteks penggunaannya.

Perlaksanaan atau Pelaksanaan?

Adilah Shek Omar pada 12hb Ogos pukul 10.10 pagi:

Saya masih keliru tentang penggunaan "perlaksaanan" dan "pelaksanaan". Boleh Prof. jelaskan? Terima kasih. Selamat menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan al-Mubarak.

Kembara Bahasa pada 12hb Ogos pukul 12.23 ptg:

Yang betul ialah 'pelaksanaan', iaitu kata nama terbitan daripada kata kerja 'melaksanakan'.

Formula atau rumus asasnya ialah: 'me' menjadi 'pe'; 'mem' menjadi 'pem'; 'men' menjadi 'pen'; 'meng' menjadi 'peng' dan 'menge' menjadi 'penge'.

Contohnya: melaksanakan (menjadi 'pelaksanaan'); membeli (menjadi 'pembelian'; menjual (menjadi 'penjualan'); mengambil (menjadi 'pengambilan'); mengebom (menjadi 'pengeboman').

Awalan 'per' biasanya digunakan jika kata kerjanya dalam bentuk kata kerja tak transitif yang berawalan 'ber', misalnya 'bersiar' menjadi 'persiaran', 'berkongsi' menjadi 'perkongsian', 'berlanggar' menjadi 'perlanggaran'.

Pengwujudan atau Pewujudan?

Yakub Uton pada 04hb Ogos pukul 9.15 ptg:

Prof. yang mana betul; pengwujudan atau pewujudan? Terima kasih

Kembara Bahasa pada 04hb Ogos pukul 9.23 ptg:

Yang betul ialah 'pewujudan', iaitu kata nama terbitan daripada kata kerja 'mewujudkan' ('me' menjadi 'pe', seperti juga 'mem' menjadi 'pem', 'men' menjadi 'pen', 'meng' menjadi 'peng' dan 'menge' menjadi 'penge'.

Contohnya:['membeli' : pembelian; 'menjual': penjualan; 'mengambil': pengambilan; 'mengebom': pengeboman]

Kata 'dalam' dalam konteks yang pertama itu bukan kata sendi, tetapi kata hubung. Ada dua kelas kata bagi kata 'dalam', seperti juga bagi kata 'untuk'. Dalam frasa 'dalam hal ini', jelas bahawa kata 'dalam' memang tergolong dalam kelas kata sendi; tetapi dalam konteks contoh yang sdr. nyatakan itu, binaannya bukan frasa, tetapi klausa. Maka kata 'dalam' dalam klausa itu tergolong dalam kelas kata hubung, iaitu sebagai kata hubung komplemen dalam ayat pancangan komplemen seperti:

1. Dalam meningkatkan pencapaian dasar ekonomi negara, kerajaan merancang fasa-fasa pelaksanaan yang bersepadu.
('Dalam meningkatkan pencapaian dasar ekonomi negara' ialah klausa tak-bebas/ayat kecil/anak kalimat bagi klausa bebas/ayat induk/induk kalimat 'Kerajaan merancang fasa-fasa pelaksanaan yang bersepadu').

Penggunaan kata 'dalam' itu sama dengan penggunaan kata 'untuk', iaitu:

2. Untuk meningkatkan pencapaian dasar ekonomi negara, kerajaan merancang fasa-fasa pelaksanaan yang bersepadu. (Kata 'untuk' dalam ayat ini bukan kata sendi tetapi kata hubung.

Kata 'untuk' dan 'dalam' sebagai kata sendi jelas diketahui apabila unsur yang mengikutnya ialah frasa nama seperti 'untuk saudara' dan 'dalam hal ini'. Namun, ada aras sintaksis yang lebih tinggi penggunaan kedua-dua patah kata itu, iaitu pada aras klausa.

Tentang penggunaan frasa 'dalam pada itu', saya tidak pasti soal betul salahnya, namun memang dalam penggunaannya, ada bentuk itu digunakan sebagai penanda wacana. Saya akan meneliti isu ini lebih lanjut.

pemerdagangan atau memperdagangkan?

Sdr. AF: Bentuk kata 'pemerdagangan' itu terbit daripada kata kerja 'memperdagangkan', sama seperti kata kerja 'memperoleh' menjadi 'pemerolehan', 'mempersatukan' menjadi 'pemersatuan' dll. Memang mulanya dirasakan agak janggal penggunaan kata itu kerana kata itu baru sahaja digunakan dalam media massa.

"Program Tentatif" atau "Tentatif Program"?

Ceritera Bahasa pada kali ini berkaitan dengan penggunaan kata majmuk program tentatif dan tentatif program. Banyak sekali kertas cadangan, kertas rancangan, kertas awalan dan kertas konsep sesuatu projek atau program yang saya terima, baik yang saya terima sewaktu saya menjadi Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka mahupun yang saya terima daripada penganjur pelbagai program ketika mengundang saya agar ikut serta dalam program itu sebagai penceramah, penatar atau pemakalah.

Daripada sekian banyak yang saya terima itu, dalam anggaran 80 peratus lebih menggunakan kata majmuk tentatif program apabila mengemukakan jadual atau atur cara program. Hal itu menimbulkan tanda tanya kepada saya mengapakah bentuk kata majmuk itu meluas penggunaannya. Rupa-rupanya prinsip atau aturan binaan kata nama majmuk yang telah dikemukakan oleh Allahyarham Prof. Sutan Takdir Alisjahbana lebih setengah abad yang lalu belum cukup dihayati oleh sejumlah pengguna bahasa. Dalam buku beliau yang berjudul Tatabahasa Baru Bahasa Indonesia (1953), ada dijelaskan prinsip atau aturan yang diberi nama Hukum D-M. Slametmujlana pula dalam bukunya Kaidah Bahasa Indonesia (1857) menyebut aturan itu sebagai struktur progresif.

Aturan itu menjelaskan bahawa susunan kata dalam bahasa Melayu/Indonesia (yang berkaitan dengan kata nama majmuk) berdasar pada susunan "kata yang diterangkan + kata yang menerangkan". Dalam bahasa Inggeris, unsur yang diterangkan dikenal sebagai head sementara unsur yang menerangkan dikenal sebagai modifier.

Dalam bahasa Inggeris, prinsip asas pembentukan kata nama majmuk berasaskan susunan modifier + head, seperti old man (old sebagai modifier mendahului kata man sebagai head). Dalam hal contoh yang kita bincangkan, bentuk tentative program merupakan bentuk kata nama majmuk yang memenuhi prinsip modifier + head itu.

Oleh sebab kata tentative telah diubah menjadi tentatif menurut prinsip morfologi bahasa Melayu, maka susunan kata majmuknya perlu menurut susunan kata nama majumk dalam bahasa Melayu. Sebagai "kata yang menerangkan", kata itu perlu diletakkan sesudah "kata yang diterangkan", lalu terbentuklah kata nama majmuk program tentatif yang sama maknanya dengan jadual tentatif atau atur cara tentatif atau atur cara sementara. Urutan yang demikian itu sama sahaja dengan urutan orang tua (bukan tua orang) yang jelas berlawanan dengan urutan bentuknya dalam bahasa Inggeri old man, seperti yang disebut tadi.

Bentuk itu sama dengan sejumlah besar bentuk kata nama majmuk yang lain, baik yang diserapkan daripada bahasa asing seperti rawatan alternatif (bukan alternatif rawatan), jumlah kumulatif (bukan kumulatif jumlah), atau yang memang merupakan bentuk kata nama majmuk asal dalam bahasa Melayu seperti kesan sampingan, rekaan baharu, bilik kebal dan yang lain.

Bentuk lain yang sama polanya ialah hal lain (atau hal-hal lain), perkara-perkara lain, perkataan lain yang oleh sesetengah orang masih diucapkan atau ditulis sebagai lain hal (atau lain-lain hal), lain-lain perkara dan lain perkataan.

Pastilah ada beberapa kekecualian dalam sesuatu prinsip atau aturan, namun kekecualian yang kecil jumlahnya berbanding dengan penerapan aturan yang menerbitkan sekian banyak bentuk yang memenuhi prinsip tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tidak mematuhi prinsip atau aturan. Seringkali orang menjadikan alasan adanya bentuk bumiputera, perdana menteri dan sebagainya untuk mengatakan bahawa Hukum D-M bukan prinsip atau aturan yang ketat dalam bahasa Melayu. Kekecualian itu ada penjelasannya, sebagaimana adanya bentuk seperti secretary-general dalam bahasa Inggeris yang tidak selari dengan bentuk-bentuk kata nama majmuk keseluruhannya.

[Perbincangan tentang Hukum D-M yang berkaitan dengan susunan kata nama majmuk dalam bahasa Melayu dapat dibaca dalam buku saya Tuntunan Bahasa, Bahagian Dua: Sendi Bahasa, bab 9 dan bab 10 (terbitan Pearson).]

"Marabahaya" Memang "Berbahaya"

Dalam ceramah dan juga kursus bahasa dan penulisan yang saya kendalikan, pertanyaan peserta tentang adakah kata merbahaya atau kataberbahaya yang betul masih terus menjadi salah satu pertanyaan yang kerap ditimbulkan. Penjelasan tentang masalah itu sebenarnya telah berpuluh-puluh tahun diberikan, termasuk dalam siri makalah saya dalam majalah Dewan Siswa, majalah Pelita Bahasa dan yang lain.

Sekadar mengulang penjelasan itu, baiklah difahami bahawa kata dasar yang menjadi isu dalam masalah ini ialah kata bahaya. Daripada segi golongan atau kelas katanya, kata bahaya itu merupakan kata nama, bukan kata adjektif seperti anggapan sesetengah orang. Kata itu dapat diperhatikan penggunaannya sebagai kata nama seperti dalam ayat yang berikut:

1. Bahaya penagihan dadah amat dahsyat.
2. Perpecahan masyarakat merupakan bahaya yang mengancam kestabilan negara.
3. Usah menempah bahaya dengan berlumba di jalan raya.

Orang yang menganggap kata bahaya tergolong dalam kata adjektif barangkali berfikir dengan beranalogi kepada kata dangerous yang memang merupakan kata adjektif. Namun, katadangerous itu sendiri terbit daripada kata dasar danger yang merupakan kata nama.

Tentang adakah bentuk kata terbitan yang betul ialah berbahaya atau merbahaya, perlu pula difahami bahawa dalam bahasa Melayu baharu (malahan dalam bahasa Melayu klasik juga) tidak ada awalan mer-. Awalan mar- terdapat dalam bahasa Melayu kuno sebelum lahirnya bahasa Melayu klasik pada sekitar abad ke-13. Oleh sebab itu, tidak ada mana-mana buku tatabahasa bahasa Melayu yang memasukkan awalan mer-, termasuk buku ahli bahasa yang bersikap 'terbuka' dan menerima bentuk kata merbahaya sebagai betul atau dapat diterima kerana telah luas penggunaannya dalam masyarakat umum.

Dengan demikian, bentuk yang betul menurut sistem morfologi atau binaan kata bahasa Melayu ialah berbahaya, iaitu sebagai hasil proses pengimbuhan kata dasar bahaya yang menerima awalan ber-. Erti yang timbul ialah 'ada bahayanya'. Contoh penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut:

4. Jalan itu berbahaya kerana berliku-liku dan tidak rata sejauh 10 kilometer.
5. Perbuatan fitnah-memfitnah cukup berbahaya kerana dapat menimbulkan permusuhan.
6. Sikap tidak peka kepada kemungkinan pengaruh kuasa asing dalam urusan kenegaraan menimbulkan keadaan yang berbahaya kepada negara.

Ada kemungkinannya bahawa kata merbahaya yang tidak berdasar pada sistem morfologi bahasa Melayu itu timbul daripada kesalahan transliterasi (penukaran aksara atau huruf daripada Jawi kepada Rumi) bagi kata marabahaya yang bererti 'pelbagai bahaya'. Dalam tulisan Jawi lama, kata itu dieja sebagai mim, ra, ba, ha, ya sehingga timbul kemungkinan orang yang membuat transliterasi kata itu ke dalam tulisan Rumi menganggapnya sebagai kata merbahaya.

Marabahaya memang pasti menimbulkan bahaya kerana ada bahayanya atau dengan kata lain berbahaya!

[Penjelasan tentang isu di atas terdapat juga dalam buku saya Tuntunan Bahasa, terbitan Pearson.]

- Awang Sariyan