Siri 1- Apitan me-kan dan men-i, di-kan dan di-i
Perkataan: Memagar 
Maksud: membuat pagar atau memasang pagar. 
Ayat:Dia memagar kawasan rumahnya dengan kawat berduri. 
Perkataan: Memagarkan: 
Maksud : menjadikan sesuatu sebagai pagar. 
Ayat: Dia memagarkan kawat berduri di sekeliling kawasan rumahnya. 
Perkataan: Memagari 
Maksud: mengelilingi sesuatu. 
Ayat: Kawat berduri memagari kawasan di sekeliling rumahnya.
Perkataan: dipagar 
Maksud: pagar dibuat atau dipasang di sesuatu tempat atau kawasan 
Ayat: Kawasan rumahnya dipagar dengan kawat berduri. 
Perkataan: dipagarkan: 
Maksud : sesuatu dijadikan sebagai pagar. 
Ayat: Kawat berduri dipagarkan di sekeliling kawasan rumahnya. 
Perkataan: dipagari 
Maksud: Sesuatu kawasan atau tempat dipagari 
Ayat: Kawasan di sekeliling rumahnya dipagari oleh kawat berduri.
Siri 2- Bahasa Istana
Perkataan: berkenan
Maksud: bersetuju
Ayat: Baginda telah berkenan untuk merasmikan kempen masyarakat penyayang yang akan diadakan di Kompleks Budiman esok.
Perkataan: Berangkat
Maksud: pergi
Ayat: Sultan negeri itu akan berangkat ke Tanah Suci esok.
Perkataan: Bertitah
Maksud: berkata
Ayat: Dalam majlis itu, baginda bertitah bahawa semua pihak harus saling-menghormati supaya perpaduan terus terpelihara.
Perkataan: bersiram
Maksud: mandi
Ayat: Tuan Puteri sedang bersiram dengan inang pengasuh di Taman.
Perkataan: bersemayam
Maksud: tinggal
Ayat: Baginda akan bersemayam di Istana Kayangan mulai 1 Februari 2011.
Perkataan: beradu
Maksud: tidur
Ayat: “Beta ingin beradu sekarang kerana hari sudah larut malam,” titah Sultan kepada pegawai istana baginda.
Siri 3-Perkataan yang hampir sama maknanya.
Perkataan: menutuh 
Maksud:. memotong dahan atau cabang kayu, memangkas, mencantas: 
Ayat: Bapa sedang menutuh dahan-dahan nangka di belakang rumah itu. 
Perkataan: menakik 
Maksud: melukai sesuatu dengan parang untuk membuat takik dengan menggunakan parang. 
Ayat: Pak Samad menakik batang pokok itu untuk membuat tempat pemijak sebelum memanjatnya. 
Perkataan: memangkas 
Maksud: memotong hujung tumbuh-tumbuhan supaya pendek 
Ayat: Mereka memangkas pokok-pokok kertau itu supaya sentiasa rendah dan mudah dipetik daunnya. 
Perkataan: mencantas 
Maksud: memangkas atau memancung hujung dahan dan sebagainya 
Ayat: Pak Abu mencantas dahan pokok rambutannya yang berbuah lebat itu.
Siri 4 –Perkataan Homograf
Homograf: Homograf ialah perkataan yang bunyi berbeza-beza walaupun ejaannya sama. Makna perkataan juga berbeza mengikut bunyi sebutannya.
Perkataan: Rendang
Maksud : masakan 
Ayat: Makcik Rubiah memasak rendang daging untuk dihidangkan kepada tetamu pada hari raya.
Perkataan: Rendang 
Maksud: sifat pohon 
Ayat: Setelah bermain bola sepak, kami berehat di bawah sebatang pohon yang rendang untuk melepaskan penat.
Perkataan: Perang 
Maksud: bertempur
Ayat: Kebanyakan pelarian yang tinggal di khemah tersebut merupakan mangsa perang.
Perkataan: Perang 
Maksud: warna
Ayat: Kebanyakan orang Eropah mempunyai rambut berwarna perang kerana mereka berkulit putih.
Perkataan: Semak 
Maksud: periksa
Ayat: Buku akaun itu saya semak berkali-kali untuk memastikan jumlah wang yang dimasukkan itu betul.
Perkataan: Semak 
Maksud: tumbuhan kecil
Ayat: Ayam itu berlari ke arah semak apabila cuba ditangkap oleh abang.
Perkataan: Semak
Maksud: tidak kemas
Ayat: Biliknya ditinggalkan dalam keadaan semak dan tidak berkemas kerana dia terlewat ke sekolah


 
No comments:
Post a Comment